Secarik Kasih Di Hujung Nafas 1


Tuk! Tuk! Tuk!

Kedengaran pintu rumah sewa Safira yang terletak di Pangsapuri Taman Gemilang, Pinggiran Batu Caves diketuk dari luar. Safira yang baru sahaja memakai apron dengan sebelah tali kecilnya terlondeh di lengan terkesima sebentar. Dengan keadaan rambut panjangnya yang sedikit serabai dan baju T-Shirt yang kusut, pantas sahaja kakinya melangkah ke ruang depan. Ketukan pintu pula semakin bertalu-talu.

“Sekejap ya..! Saya bukakan pintu ni..” sahut Safira memberitahu gerangan yang ingin bertandang ke rumah sewanya itu.. Tidak sabar nampaknya orang yang berada di luar itu.

“Maafkan kami..! Kami dari JAIS. Kami terima laporan ada maksiat berlaku dalam rumah ni. Boleh kami masuk??” beritahu salah seorang lelaki yang berkopiah di hadapan Safira. Ada lima orang semuanya. Safira jadi kaget sebentar. Betulkah apa yang didengarnya?

Maksiat?? Macam mana pula ini boleh berlaku? Mustahil aku buat maksiat dalam rumah ni memandangkan aku seorang saja..! getus hati kecil Safira. Kehairanan mula menyinggah di tebing hati Safira.

“Saya rasa encik semua ni salah terima laporan kot..” Safira menafikan kata-kata lelaki itu. Selama ini aku cukup menjaga maruahku. Mustahil aku akan sia-siakan amanat ibubapa yang begitu percaya untuk aku tinggal di pangsapuri ini, desis hati Safira.

“Apapun, biar kami masuk ke dalam untuk periksa dulu..!” pinta seorang lagi lelaki dalam kumpulan itu. Tiada lagi cara lain lalu akhirnya Safira mengangguk. Mengapa mesti takut kalau tak buat salah? Lalu diberi laluan untuk memudahkan semua lelaki itu masuk ke dalam dan menjalankan kerja mereka..

Rumah pangsapuri sewa yang mempunyai dua bilik itu diperiksa. Safira yang menunggu di ruang tamu berdiam diri. Biarpun ada sedikit rasa cuak dihatinya, Safira cuba menepis perasaan itu. Biar ada ketakutan yang bertamu di hati, Safira cuba menyangkalnya.

Tiba-tiba saja matanya tertancap pada kelibat seorang lelaki yang sangat dikenali Safira keluar dari dalam bilik teman serumahnya, Zulaika. Diikuti oleh lelaki-lelaki dari jabatan agama di belakangnya. Lelaki itu tidak berbaju dan sekadar berseluar pendek.

Fahmi!! Bagaimana dia boleh ada di sini? Kenapa dia boleh berada di rumah ini? Berkerut dahi Safira memikirkannya. Badan Safira pula mula menggeletar ketakutan. Pucat lesi mukanya. Ketika ini, Safira mula merasakan mukanya panas membahang.

Macam mana Safira tak sedar Fahmi berada dalam rumah tu? Ketika Safira baru pulang dari kerja tadi, dia tidak sempat mengetuk pintu bilik Zulaika, kelaziman yang dilakukannya sebelum ini untuk mengetahui temannya itu sudah pulang atau belum. Begitu banyak persoalan yang timbul di benaknya. Arghh.. Semakin pening kepala Safira bila diberitahu dan disahkan bahawa dia ditangkap khalwat bersama Fahmi, kekasihnya sendiri.

Beberapa minit kemudian, Safira, Fahmi, dan pengawai pencegah maksiat itu keluar dari rumah sewa yang didiami Safira bersama seorang temannya yang bernama Zulaikha. Safira perasan akan pandangan jiran sekeliling yang melihatnya. Ada beberapa orang makcik kelihatan berbisik-bisik.

Mereka berdua di bawa ke pejabat agama daerah Gombak untuk diambil keterangan. Jauh di simpang jalan, beberapa meter dari rumah itu, ada senyuman terukir di bibir seorang perempuan. Perempuan itu seakan berpuas hati dengan rencananya. Berjaya juga apa yang dirancang!!

***********

“Betul encik! Saya tak tahu bagaimana dia ni boleh berada di dalam rumah saya. Saya balik dari kerja terus ke dapur untuk memasak. Saya tak masuk pun dalam bilik tu. Lagipun itu bilik kawan saya…”

“Kalaupun itu bilik kawan awak, awak tetap didapati bersalah. Dalam Islam, haram hukumnya bila lelaki dan perempuan bukan muhrim berdua-duan dalam rumah. Kami tangkap awak berdua bila kami dapati hanya awak berdua saja di dalam rumah. Habis dengan keadaan awak berdua yang sedikit berserabut tadi tu, awak ingat kami boleh percaya? Kami tahu awak berdua dah buat benda tu kan..? Awak berdua orang Islam. Pasti ada sesuatu yang akan berlaku. Bila lelaki dan perempuan itu berduaan, pasti akan muncul pihak ketiga. Awak berdua tahu siapa pihak ketiga tu kan? Lagi satu antara awak berdua tiada ikatan yang sah di sisi agama.. Yang mengesahkan awak berdua suami isteri…” panjang syarahan yang diberi oleh pengawai agama di hadapan Safira dan Fahmi. Safira dan Fahmi termangu di kerusi mereka.

“Tapi encik.. kami tak ada buat apa-apa pun! Saya diberitahu rumah tu dimasuki pencuri oleh kawan saya sendiri. Sebab tu saya datang nak membantu.. Sampai saja di rumah, tiba saya dipukul dari belakang. Saya pengsan. Saya sedar bila encik masuk dalam bilik tu. Saya sendiri hairan bagaimana saya hanya berseluar pendek masa tu..” bersungguh-sungguh Fahmi mempertahankan dirinya.

Fahmi tahu dirinya tak bersalah. Mustahil untuk Fahmi melakukan perbuatan tidak senonoh itu kepada Safira. Matanya memandang ke arah Safira.

Safira adalah kekasihnya. Kekasih yang telah disemai rasa cinta sejak dua tahun lalu. Bukannya dia tidak kenal gadis naïf di sebelahnya. Fahmi tahu wajah itu dalam ketakutan yang amat sangat. Apa yang terjadi itu telah menconteng arang di muka keluarga mereka sedangkan mereka tidak bersalah. Biarpun bermati-matian menangkis tuduhan, ia tak semudah itu untuk disangkal.

Hampir dua jam mereka berdua di situ. Diberi kaunseling dan mereka dianggap sebagai pasangan yang ditangkap khalwat. Ibubapa kedua-duanya pun turut dipanggil dan ada bersama mereka. Saat itu juga, Safira terasa mahu pitam. Pipinya sudah basah dek air mata yang tidak segan silu menuruni pipi. Terasa ada batu besar yang menghempap kepalanya. Namun digagahinya juga untuk pulang ke rumah yang membawa nasib malang dalam kehidupan itu. Wahai hati, tabahlah!!

************

Teksi yang membawa mereka berdua berhenti di hadapan Pangsapuri Taman Gemilang. Masing-masing keluar setelah membayar tambang. Muram wajah Safira tatkala membuka pintu rumah. Mukanya masih tertunduk di atas lantai koridor. Rasa malu mula menguasai diri. Bimbang bagaimana penerimaan jirannya apabila mengetahui hal yang berlaku. Lebih-lebih teman serumahnya!

“Erk.. Safira! Abang minta maaf atas kejadian yang berlaku ni. Abang tak sangka benda macam ni boleh berlaku pada kita.. Abang minta maaf…!” pinta Fahmi sungguh-sungguh. Mereka berdua saling berhadapan. Safira masih tidak memandang ke arah Fahmi. Tetap melihat lantai konkrit yang menampung kakinya. Rasa sakit hatinya masih berbekam di sanubari..

“Safira, abang betul-betul minta maaf! Safira jangan takut ye.. Abang akan bertanggungjawab atas apa yang berlaku. Cinta abang takkan berubah pada Safira..” Fahmi masih lagi memujuk Safira yang sejak dalam teksi lagi membisu..

“Abang tak perlu minta maaf kalau betul abang tak bersalah..” ringkas jawapan Safira namun hatinya berbekas dengan amarah. Tunggu masa untuk diletupkan saja tetapi berdayakah dia untuk memarahi lelaki di hadapannya kini? Safira tahu itu bukan salah mereka namun bagaimana hendak membuktikannya. Selama ini pun mereka berdua cukup menjaga batas pergaulan mereka.

“Cuma Safira sedikit hairan, bagaimana abang boleh berada di dalam rumah Safira? Dengan berkeadaan begitu…?” sambung Safira inginkan penjelasan. Berjurai lagi manik-manik jernih itu. Safira menyekanya dengan jari. Safira tidak mahu Fahmi menganggap dia wanita yang tidak tabah menghadapi dugaan.

“Bukankah abang dah jelaskan depan pengawai agama tu.. Safira pun tak percaya kat abang? Bagaimana harus abang jelaskan perkara sebenar berkali-kali andai Safira tidak percaya kat abang? Apa yang abang bagitahu, itulah sebenarnya. Safira ingat abang suka masuk rumah yang didiami gadis seperti Safira? Abang pun tahu batas agama. Didikan agama yang mak dan ayah beri masih kuat dalam diri ini. “

“Patutlah bila petang tadi, Safira call abang, abang offkan handphone. Inikah surprise yang abang beritahu semalam tu? Surprise inikah yang abang nak beri pada Safira? Dengan memalukan Safira? Kenapa abang tak bagitahu abang berada di rumah Safira hari ni..?” tuduh Safira.

“Safira jangan lah bertindak kejam dengan menghukum abang begini. Tuduhan tu terlalu berat untuk abang terima. Percayalah… abang tak tahu bagaimana ini berlaku. Bateri handphone abang sudah habis. Bukan ini surprisenya. Abang fikirkan malam ini abang nak bawa Safira pergi dinner.. Tapi abang dapat panggilan mengatakan rumah Safira dimasuki pencuri. Sebab tu…”

“Abang baliklah. Tinggalkan Safira sendirian.. Safira perlukan ketenangan..” potong Safira tidak membenarkan Fahmi menghabiskan ayatnya. Semakin banyak kata yang terluah di bibir kekasihnya itu, semakin sakit hatinya. Air mata dari tadi tidak berhenti membanjiri pipinya. Seakan air sungai yang terus menerus mengalir.

“Baiklah… abang balik dulu. Esok abang datang jumpa Safira ye.. Satu abang nak ingatkan pada Safira, mungkin apa yang berlaku ni ada hikmahnya yang kita tak tahu..Abang tetap akan bertanggungjawab. Kita segerakan pernikahan yang kita rancang sebelum ini. Kita tak perlu bertangguh lagi. Abang pergi dulu..” lembut suara Fahmi meminta diri untuk pulang.

Fahmi masuk ke dalam kereta Proton Waja nya yang diparkir di tempat parking.
Nampaknya Safira tidak mempercayai kata-katanya. Wajah marah dan kebencian terpapar di muka kekasihnya itu.. Bukankah mereka pasangan kekasih? Seharusnya ada sifat saling mempercayai antara mereka. Ya Allah! Kenapa aku jadi begini?

Safira sudah terlentang di atas sofa. Matanya tajam memandang kipas yang ligat berputar. Malu, sedih marah dan geram bertandang di fikiran tanpa dipinta. Mungkin itu refleksi dari urat saraf otaknya. Di anak matanya seakan terbayang skrin kejadian yang berlaku tadi. Benar-benar di luar jangkaannya..

Safira percayakan Fahmi hampir seratus peratus. Tapi tiba-tiba kepercayaan itu luntur dek peristiwa memalukan itu. Itukah jalan paling mudah yang difikirkan Fahmi setelah berkali-kali Safira menangguhkan perkahwinan mereka kerana Safira masih belum bersedia? Tidak sabarkah Fahmi untuk hidup bersama Safira? Sedangkan Safira masih muda dan terlalu betah untuk mengharungi alam rumahtangga. Percintaan mereka selama dua tahun itu akan terkuburkah?

Semasa Fahmi menjelaskan hal yang berlaku tadi, tiada tanda Fahmi berbohong dengan alasan yang diberinya. Riak wajahnya serius. Safira sendiri ingin mempercayai kata-kata Fahmi tadi tetapi entah akal halusnya menidakkan perbuatan itu..

Safira berkira-kira bagaimana mahu berdepan dengaan ibubapanya. Memang Safira sudah bertembung empat mata dengan ibubapanya tadi namun ada perasaan gusar di jiwanya. Sememangnya sudah terconteng arang di muka mereka. Pastinya mereka malu…

Reaksi anda : 

7 Response to "Secarik Kasih Di Hujung Nafas 1"

  1. andaluciacheesecake says:
    April 26, 2009 at 5:23 PM

    fuh..best..permulaan yg baik..!
    sy doakn cite awak kali ni,xdicopy paste oleh mane2 pihak..truskn mnulis..klu mood bidadari da ok..jgn lupe smbung JMS..

  2. Miss Kira says:
    April 26, 2009 at 5:28 PM

    hmm..
    musti kerja zulaika ni..
    cpt smbg ye..

  3. SyAfIrA iDaYu says:
    April 26, 2009 at 6:40 PM

    best2...
    sambung lagi yek

  4. Anonymous Says:
    April 26, 2009 at 8:03 PM

    best2..x sbr nk tggu next ep...

  5. SyUhAdA AzMi says:
    April 26, 2009 at 8:44 PM

    salam..
    permulaan cter ni bgus r..
    x sbar nk bce smbgn die..
    gudluck ye

  6. keSENGALan teserlah.. says:
    April 26, 2009 at 9:46 PM

    waaaaaaa..
    cm best je..
    smbung2..

  7. MaY_LiN Says:
    April 27, 2009 at 11:54 PM

    ni mesti zulaikha punya angkara..
    cam kena perangkap jer..

Post a Comment