Secarik Kasih Di Hujung Nafas 11

“Apa??? Kahwin??”

“Ya.. Kahwin! Sekurang-kurangnya sengketa antara kau dan adik-adik kau boleh diselesaikan..”

“Kenapa kau boleh terfikir kahwin adalah satu-satunya cara untuk selesaikan masalah aku? Aku belum terfikir nak kahwin lagi buat masa sekarang ni. Kisah lama pun masih menghantui aku lagi. Benda macam ni akan bebankan aku nanti. Entah-entah, masalah aku makin kusut..”

Tiba-tiba bayangan suram Safira menjelma kembali di wajahnya. Kisah lampau seolah-olah terpapar di layar matanya. Tak ubah seperti drama. Satu persatu bermain di sinar matanya.

“Mengelamun lagi? Kau masih sendiri hingga kini. Arwah Fahmi dah lama pergi, Safira. Tak guna nak ingat lagi. Kita yang masih bernyawa ni kena teruskan hidup. Percayalah, mana tahu dengan adanya lelaki di dalam keluarga kau, adik-adik kau boleh dinasihati untuk menerima kau. Mana tahu lelaki itu akan menyatukan keluarga kau kembali.. Lagipun kau bukannya muda lagi. Umur begini memang layak untuk berumahtangga..”

Kata-kata Cikgu Durriyah menyapa lembut di telinganya. Otaknya mula mencerna kata yang berupa nasihat itu. Bila difikirkan, ada benarnya juga. Mana tahu, andai suatu hari nanti, semua adiknya akan menerima dia kembali dalam keluarga yang telah ditinggalkan itu. Tak salah andainya mencuba namun siapakah lelaki yang bakal mengetuk pintu hatinya itu?

*******
Safira membuka buku laporan di depannya. Pen biru dicapai dari bekasnya dan mula menari di catatan putih itu. Sudah 3 kelas yang dimasukinya hari ini. Sekejap lagi satu kelas lagi akan dicurahkan ilmu didik yang ada di dada. Masa terakhir persekolahan sekejap lagi dan itu kelas terakhirnya untuk hari ini.
Satu keluhan dilepaskan. Bila memikirkan gelagat dan kenakalan para pelajar di kelas yang akan diajarinya sebentar nanti, bibir Safira mengeluh lemah. Tidak tahu bagaimana dan apakah yang harus dilakukan supaya pelajar di kelas itu menyukai subjek yang diajar. Pengetua Sekolah Menengah Seri Andalas juga pernah memberitahu peratus kelulusan subjek Matematik di kelas itu memang merundum. Pelajarnya tidak meminati subjek itu. Sesuatu perlu dilakukan agar minat boleh ditanam di dalam diri setiap pelajar di kelas itu.

Safira mula mengemas peralatannya sebaik sahaja kedengaran loceng dibunyikan. Gilirannya mengajar sudah tiba. Langkah dihayun menuju ke tempatnya. Dari jauh telinganya sudah menangkap bunyi bising dari kelas di hujung koridor bangunan sekolah Blok B itu.

Baru saja kaki Safira mahu melangkah ke dalam kelas, satu roket kertas buatan tangan hinggap di kepalanya. Semua pelajar yang bising tadi diam menikus. Terdiam melihat wajah Safira yang sedikit merah.

“Siapa punya roket ni, hah??” suara garang Safira mula keluar. Safira mengambil roket yang mendarat di atas kepalanya itu.

Semua pelajar bergerak ke tempat masing-masing. Tidak pernah lagi mereka mendengar suara tengkingan yang begitu kuat dari guru perempuan itu. Walaupun Safira dikenali sebagai guru yang tegas namun entah kenapa terasa berlainan pula hari ini. Tiba-tiba saja datang angin puting beliung. Kecut juga perut dibuatnya.

Mata Safira meliar memandang sekeliling kelas itu. Semua pelajar menundukkan kepala ke lantai namun matanya terhenti di wajah seorang pelajar lelaki. Mulutnya yang berbentuk ‘0’ itu sedang bersiul tanpa wujud rasa bersalah.

Safira sudah dapat mengagak mesti kejadian tadi berpunca dari pelajar nakal itu. Kenakalan yang tiada tandingannya. Kedegilan yang tidak tahu bagaimana untuk dilunturkan. Kalau baju boleh juga dilunturkan dengan Clorox tapi mengahdapi kerenah pelajar nan seorang ini, haiiii...

“Naufal! Berdiri di luar sekarang sampai habis kelas ni..” arah Safira.

“Hish!!” satu keluhan bersama hentakan kaki kedengaran dari mulut Naufal. Sorotan matanya yang tajam seakan memberi amaran kepada guru muda di depan kelas itu. Safira tidak takut dengan pandangan mata itu.

“Kalaulah aku boleh tukar laluan matahari yang tengah mengelilingi dunia ni, dah lama agaknya Cikgu Safira ni rentung! Perasan bagus saja…! Menyampah betul!!..” Dalam kakinya melangkah menuju ke luar kelas, sempat lagi Naufal merungut.

“Apa yang rentung tu, Naufal?” tegur Safira. Bukannnya Safira tidak mendengar rungutan halus dari bibir pelajar itu. Entah apa-apa yang dibebelnya. Agaknya kalau memang betul si Naufal tu ada kuasa ghaib dah lama sekolah ni hilang bumbungnya.

“Betul-betul telinga gajah cikgu ni..” rungut Naufal lagi lalu tanpa sekelumit perasaan, kakinya sudah memijak lantai di luar kelas.

‘Bikin malu betul la. Jatuh saham aku kena berdiri di luar kelas ni.’

Hati Naufal berkata sendiri. Sekejap lagi pasti ada pelajar-pelajar yang melewati kelasnya. Buatnya pelajar junior perempuan yang lalu, macam mana? Muka handsome kalau kena berdiri kat luar ni, memang merundum sahamnya.

Safira menggelengkan kepala melihat telatah Naufal. Kenapalah pelajar itu sangat nakal? Suka sangat mengusik dia. Setiap hari Safira sedar dirinya menjadi bahan usikan dan gurauan kenakalan Naufal. Mungkin mereka ni sengaja hendak menaikkan suhu panas kemarahan guru-guru di situ. Memang guru sebelum ni pun pernah kena juga. Sebab ramai guru yang tak tahan untuk terus mengajar di kelas itu lalu meminta pengetua menukarkan mereka ke kelas lain. Mampukah Safira bertahan di situ sekurang-kurangnya hingga hari terakhir peperiksaan SPM nanti? Entahlah.. janjinya untuk menjadi pendidik yang berguna, adakah akan menjadi realiti??
******
Cikgu Syafik melepaskan penat lelahnya seketika. Hembusan nafas kedengaran perlahan. Cikgu Syafik memandang jam yang tergantung di dinding. 7.40 malam.

Tak sedar dia petang tadi waktu sudah senja. Perlawanan bola sepak peringkat negeri yang akan dilangsungkan pada minggu depan memaksanya mengerah tenaga pemain-pemain muda itu untuk menunjukkan aksi yang cemerlang. Biarpun dia tahu pemainnya sudah kelelahan namun amanat yang dipikulnya bukan sedikit.

“Kalau boleh, saya mahu cikgu harumkan nama sekolah kita ni. Jadikan pemain kita sebagai juara. Saya mahu orang dari jabatan pendidikan tu memandang tinggi keupayaan sekolah ini.. Bukan setakat cemerlang dari segi akademik, malah ko-kurikulum juga!”

Kata-kata pengetua bulan lepas masih terngiang-ngiang di deria pendengarannya. Cikgu Syafik mengeluh lagi. Azan Maghrib sudah berkemundang tadi. Segera dia bangun dari katil untuk menunaikan kewajipan yang satu itu.



2 Response to "Secarik Kasih Di Hujung Nafas 11"

  1. alreinsy says:
    July 12, 2010 at 9:20 AM

    lamanya baru ada new n3... x sbr nk tau kisah seterusnya... chaiyok2..

  2. MaY_LiN Says:
    July 12, 2010 at 10:43 PM

    sapa la jodohnya

Post a Comment