Secarik Kasih Di Hujung Nafas 10


Safira merenung kipas siling yang berputar ligat di siling rumah. Akhbar yang baru dibaca sebentar tadi diletakkan di sisi. Pembacaannya hanya sepintas lalu. Tiada berita yang menarik padanya.

Angin malam berhembus ke telinganya. Kesejukan yang sederhana itu tidak menggamit sedikitpun khayalan yang berenang-renang di lautan minda. Hampir 5 minit Safira begitu. Entah mengapa hatinya berasa kurang enak. Sejak dari petang tadi sebenarnya namun Safira berusaha juga menepis perasaan halus itu.

Malam ini ingatan Safira melayang mengingati kenangan silam. Umpama mesin masa memutarkan semula peristiwa lampau yang menyayat hati mudanya suatu ketika dulu. Dan hari ini sekali lagi air matanya mengalir laju membasahi pipi. Pipi yang pernah menjadi sasaran tamparan tangan si ayah. Terkenang betapa berdosanya dia kerana tidak pernah sekalipun bertanya khabar sejak peristiwa dihalau dulu.

Memang Safira ada mencuba menghubungi mereka semua terutama ibunya, Puan Hanita tetapi ayahnya, Dr Zafwan menghalang Safira dari terus berbual-bual dengan mereka semua. Safira sedar juga, adik-adiknya pasti akan membenci dia. Menuduh dia yang telah menconteng arang hitam ke muka keluarga. Memaksa Safira untuk menerima tuduhan tidak berasas itu.

Angin malam meniup deras hingga membuka satu helaian akhbar yang berada di tepi Safira. Helaian yang tadinya tidak terlintas di anak mata untuk membacanya. Gambar satu kemalangan kecil membulatkan matanya. Gambar mangsa kemalangan itu turut terpampang di dada akhbar.

Tidak lama kemudian, bahu Safira mula terhenjut-henjut menahan tangis.

“Mak!! Ayah!!” jerit Safira. Terus pandangannya kelabu.

*******

“Safira! Tolong lah! Jangan macam ni. Dah ditakdirkan mak ayah kau pergi. Kita yang hidup ni kena redha. Banyakkan berdoa buat mereka. Sedekahkan Al-Fatihah, moga roh mereka berdua dicucuri rahmat ” Nasihat Cikgu Durriyah. Telah dua minggu kedua ibu bapa Safira menghadap Illahi.

Safira menggelengkan kepala berulangkali. Dia tidak percaya orang yang selama ini diharapkan akan memaafkan dia pergi jua meninggalkan dia. Safira tahu dia tidak bersalah namun dia tetap ingin meminta Dr Zafwan dan Puan Hanita memaafkan dia kerana melukakan hati mereka dulu. Bukan kah sebagai anak, perbuatan meminta maaf itu suatu yang mulia biarpun tidak melakukan kesalahan?

Renungan tajam sepasang mata itu seakan menyeksa Safira. Seakan menyalahkan dia atas segala yang berlaku. Mata itu melihat Safira dengan pandangan yang geram. Tanpa disangka-sangka, satu tamparan hinggap di pipi Safira. Terkesima dibuatnya. Cikgu Durriyah juga terkejut malah tidak menyangka.

“Puas hati akak, kan?? Orang yang akak benci sangat tu dah takde! Walaupun akak sayang mereka, akak tetap takde hak nak datang ke rumah ni lagi. Rumah ni bukan rumah akak.. Kenapa jasad mak dan ayah dah dua minggu bersemadi dalam tanah tu, baru akak datang jenguk kami?? Mana hilangnya tanggungjawab akak yang sepatutnya menjaga kami..??”

Marah benar Safura. Tangan halusnya tadi yang naik ke muka Safira. Air mata merembes keluar lagi. Rupanya Safira sudah tiada tempat di hati mereka.

Jahat sangatkah Safira hingga Safura membenci begitu sekali? Besar sangat kesalahan yang dilakukan itu?

“Fura. Bukan akak tak tahu tapi akak kena pergi kursus. Masa Kak Safira dapat tahu tu, perasaan akak membuak-buak nak datang sini. Nak jumpa dengan semua adik akak ni. Tapi akak tak berkesempatan. Akak….”

“Kursus tu lagi penting ke dari arwah ayah dan mak? Mereka tu siapa pada akak? Bukan mak ayah akak ke? Bukan mak ayah kami ke? Dah dua tahun akak hilang, baru sekarang nak jenguk kami..! Berhubung dengan kami jauh sekali! Akak memang tak guna!!”

“Fura! Kak Safira bukan macam tu! Bukan Kak Safira tak mahu berhubung dengan kamu semua. Kak Safira bimbang Kak Safira akan ditolak macam dulu. Bukan Kak Safira tak mahu jenguk kamu semua! Kak Safira dah takde tempat di hati kamu semua! Kak Safira tahu tentang itu..” luah Safira, sedih.

Dipandang wajah adiknya satu persatu. Syakila memandang Safira dengan pandangan yang tidak mengerti. Syakila masih kecil untuk mengenali perasaan orang-orang dewasa di depannya.

“Kenapa? Kak Safira takut kami akan ungkit kisah lama tu? Kak Safira sendiri yang buat dosa, tanggunglah akibatnya. Disebabkan dosa tu, kami malu nak mengaku Kak Safira tu kakak kami. Sepatutnya, sebagai anak sulung, Kak Safira jadi teladan pada kami. Bukannya menghimpit kami dengan perkara begitu. Dua tahun Kak Safira pergi dari kami. Tahu tak, apa yang terjadi pada kami? Pada emak yang sangat sayangkan Kak Safira?” Kak Safira tahu tak????” jerit Safura geram.

“Maafkan Kak Safira! Kak Safira dah tak berdaya nak menghadapi semua ni. Kak Safira insan lemah. Mudah putus asa. Kak Safira telah lupakan tanggungjawab Kak Safira pada kamu semua.. Maaf!” tutur Safira.

Cikgu Durriyah sekadar menjadi penonton yang datang tidak bertiket untuk menyaksikan drama dunia itu. Durriyah tahu mengapa semua ini berlaku dan dia bersimpati dengan Safira namun apalah kudratnya. Cikgu Durriyah hanyalah orang asing yang berada di tengah-tengah kemelut keluarga Safira. Takkan bisa mencampuri hal keluarga itu.

Cikgu Durriyah memandang sekeliling ruang tamu itu. Ada potret keluarga yang tergantung di situ. Ada wajah ceria Safira di situ. Juga wajah ibu bapa Safira. Alangkah beruntungnya Safira dulu. Dikelilingi keluarga yang ceria. Ya.. dulu! Sekarang…?

Wajah Safira dipandang sekilas lalu. Kemuraman wajah itu menceritakan segalanya. Ahh.. bagaimana dia boleh setabah ini? Bersedia menghadapi cemuhan adik-adiknya. Tiba-tiba sahaja rasa sebak menyelubungi diri Cikgu Durriyah.

********

“Kau okey, Safira?”

Safira anggukkan kepalanya. Cikgu Durriyah menghulurkan tisu dengan tangan kirinya kerana tangan yang sebelah lagi sedang memegang stereng. Cikgu Durriyah turut bersimpati dengan Safira.

Perjalanan yang telah memakan masa satu jam lebih itu memerlukan tiga jam lagi untuk ditamatkan. Terasa jauh perjalanan itu. Sejauh hati Safira. Di telinganya seakan terngiang-ngiang bunga-bunga pertengkaran yang berlaku tadi. Dedaun hati Safira seakan berkecamuk memikirkannya. Bagaimana lagi harus dipulihkan hubungan dia dan adik-adiknya itu?

Safira tidak sedar bilakah masanya kereta Cikgu Durriyah tersadai di halaman rumah mereka. Tahu-tahu sahaja Cikgu Durriyah membunyikan hon kereta dua kali.

“Dah sampai planet mane agaknye tu..?” perli Cikgu Durriyah.

“Agak-agak kau, aku dah sampai mane?” soal Safira semula sambil mengukir senyum. Tahu akan gurauan Cikgu Durriyah itu.

“Planet Pluto kot?” balas Cikgu Durriyah lalu membuka pintu kereta.

Pintu belakang dibuka lalu Cikgu Durriyah mengambil barang-barang mereka. Safira berfikir sejenak.

“Eh! Bukan ke planet Pluto telah digugurkan dari senarai bilangan planet?”

“Sejak bila kau jadi cikgu Sains ni..? Dah lah, jom masuk! Esok nak kerja. Pasal adik-adik kau tu, jangan lah difikirkan sangat. Lama-lama nanti mereka akan faham masalah kau tu dan sedar kau memang tak bersalah. Cuma… sekarang kau belum ada bukti, kan? Kalau kita di pihak benar, Allah s.w.t pasti akan tolong kau..”

Safira terdiam mendengar bicara Cikgu Durriyah itu. Benar, dia memang tidak bersalah tapi bukti apa yang dia ada??

P/S : Rupanya dah 3 bulan tak update blog ni. Sori kengkawan yerr.. Takde masa yang free untuk update blog n novel baru ni. Sekarang baru free. Apepun hope enjoy dgn n3 baru ni.. :)


Reaksi anda : 

3 Response to "Secarik Kasih Di Hujung Nafas 10"

  1. alreinsy says:
    April 16, 2010 at 5:05 PM

    lamanya citer ni... bagus2 dah ada smbgn... caya la...

  2. Anonymous Says:
    April 16, 2010 at 8:44 PM

    salam...
    akhirnya ada gak smbungan cite ni...
    igt tergantung...
    pape pn tma ksh writer...

  3. MaY_LiN Says:
    April 16, 2010 at 9:24 PM

    akhirnya..
    ade gak n3..
    hhikhikhik..

Post a Comment