Secarik Kasih Di Hujung Nafas 4


Diari merah itu ditutup rapat setelah nafasnya ditarik dalam-dalam memasuki rongga jantung dan hati. Jantung yang sepatutnya berdegup normal berdenyut dengan kencang. Betapa terkejutnya Safira setelah mengetahui hal yang sebenarnya terjadi di sebalik semua yang berlaku sebelum ini. Ketika ini, pelbagai jenis rasa yang bercampur aduk di hati dan fikiran Safira.

“Ya Allah..!!!”

Hanya itu sahaja ungkapan yang termampu lahir di bibir mungil Safira. Selebihnya fikiran Safira tidak dapat mencerna kata-kata lain. Seolah-olah bibirnya terkunci. Setitis demi setitis air matanya membanjiri kelopak mata. Safira membiarkan manik-manik jernih itu jatuh ke pipi. Tidak mampu lagi dia nak menghalang.

Apatah lagi nasibnya yang kini mula terumbang-ambing. Semua yang mengenalinya mula menjauhkan diri. Termasuk lah teman rapat apatah lagi keluarga sendiri. Safira sudah dibuang keluarga. Apa lagi yang mampu dilakukan Safira untuk menegakkan keadilan? Insan yang sepatutnya bersama-sama berjuang mencari kebenaran telah tiada di alam fana ini. Di mana lagi kekuatan Safira?? Apakah dengan adanya diari itu mampu menutup segala keaiban yang memalitkan kotoran di wajah Safira?? Mampukah nota kecil lakaran tangan arwah Fahmi itu mampu membersihkan namanya semula..? Safira tahu hanya Dato’ Razali saja yang memahaminya. Hanya lelaki itu seorang..!!

Tidak mudah keaiban yang tercemar mampu ditutup dengan barang yang sekecil cuma. Tiada siapa yang akan percaya nukilan arwah Fahmi itu yang menyatakan mereka berdua mangsa yang teraniaya. Orang akan mendabik dada mengatakan sesiapun mampu menghasilkan diari sebegitu. Siapa yang akan mempercayai Safira? Berat dugaan yang Safira tanggung namun sedetik hatinya cuma mampu berdoa agar suatu hari nanti kebenaran akan terbongkar semula. Entah kenapa, tangan Safira tergerak semula untuk membuka kembali lembaran diari itu. Perkataan yang terconteng dengan dakwat biru itu dibacanya sekali lagi..

24 Januari 2008..

Hari ini aku menerima panggilan dari teman serumah Safira, Ika. Katanya, rumah mereka dimasuki pencuri. Sebaik panggilan ditamatkan, aku segera ke rumah Safira. Aku tak mahu apa-apa terjadi pada Safira. Kes kecurian sekarang sudah membabitkan nyawa. Aku tak mahu nyawa orang yang aku sayang hilang begitu sahaja. Sebaik tiba di depan pintu rumah, aku mengetuk pintu. Tingkap rumah pun terkunci. Adakah pencuri berada di dalam? Macam mana lah rumah pangsapuri begini pun boleh dimasuki pencuri. Kadang-kadang aku hairan juga. Kalau ade bunyi bising yang aneh, sudah tentu jiran sebelah boleh dengar.

Aku memasang telinga. Macam sunyi aje kat dalam rumah ni. Tiba-tiba pintu terbuka dan tanganku ditarik masuk ke dalam. Mataku sempat menangkap kelibat seseorang. Ika!! Ada seorang lagi tetapi aku tidak dapat nak cam kerana belakang leherku tiba-tiba dipukul benda yang keras.. Lepas tu aku tidak tahu apa yang terjadi. Yang aku tahu, sebaik sedar, aku lihat ada lebih kurang lima orang lelaki berkopiah putih mengelilingiku. Aku lihat tubuhku sekadar berseluar pendek. Apa sebenarnya terjadi??

Aku diminta keluar. Bila keluar dari bilik, terus aku tergamam.

‘Ya Allah! Dugaan apa yang Kau berikan pada kami ini?’

Aku dan Safira kena tangkap khalwat?? Tak mungkin.. Aku tahu ini angkara Ika dan yang seorang lagi tu.. tapi siapa seorang lagi tu? Aku sendiri tak sempat nak beritahu Safira keadaan yang sebenar. Safira pun macam tak percaya sahaja kat aku. Setiap kali aku cuba nak bagitahu, Safira memarahiku. Aku tahu, dengan keadaan kami, sesiapa pun akan melenting. Apatah lagi ditangkap khalwat. Kejadian ni betul-betul memalukan aku…Juga memalukan kekasih hatiku, Safira.

20 Mac 2008..

Hari ni aku akan diijabkabulkan dengan Safira. Betapa hatiku gembira kerana ini merupakan saat yang kunantikan sekian lama. Percintaan yang tersemi selama dua tahun akhirnya membuahkan ikatan rasmi antara kami. Akad nikah yang bakal menghalalkan hubungan antara dua hati. Yang bakal menyemarakkan lagi mahligai kasih kami berdua.

Tapi… entah mengapa sejak peristiwa penangkapan khalwat kami itu, Safira tidak seceria dulu. Seolah-olah kami orang asing dalam dunia kami sendiri. Safira seringkali membuat hal sendiri hinggakan dalam seminggu, aku sekadar mampu mendengar suaranya sekali sahaja. Kalaupun Safira menjawab panggilanku, dia seolah-olah memperlakukan aku seperti tidak wujud di hatinya.

‘Safira, apa salah abang?? Bukannya abang mahu kisah kita jadi begini. Abang tak pinta ia berlaku. Abang sendiri mengharapkan kita dapat mengakhiri hubungan ini dengan kerelaan dan kesediaan hati kita. Tapi tegarnya Safira memperlakukan abang yang tidak bersalah ini.. Bukan salah abang bila ini yang berlaku. Bukannya abang yang pinta keaiban ini... ’

Aku tahu Safira bersedih kerana ikatan yang bakal terjalin ini berlaku tidak pada waktu ketikanya. Aku tahu Safira masih belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri. Petang ni, aku akan ambil baju pengantinku. Harapnya baju tu dah siap.. Baju pengantin yang telah direka mengikut impian Safira dulu. Walaupun aku tahu Safira tidak suka akan apa yang berlaku ini, sebolehnya aku mahu mencapai impiannya. Sebab sesedih manapun Safira, aku tetap ingin jadi pengantin lelaki kacak yang mampu menggembirakannya di hari bahagia... Aku mahu nampak tampan di mata Safira.. Aku ingin Safira melihatku dalam pakaian pengantin itu.

‘Safira..Abang tetap sayang Safira walaupun ada kebencian yang bertandang di hatimu.. Abang redha andai suatu ketika kita tidak mampu bersatu sebagai suami isteri namun abang berharap Safira lah yang akan menjadi bidadari abang di syurga nanti. Kelak abang akan nantikan Safira di pintu syurga-Nya...’

Rupa-rupanya Fahmi seakan mengetahui ajal maut yang akan menjemputnya. Fahmi sedar dia tidak mampu menjadi pengantin lelaki buat Safira. Safira mula rasa bersalah memperlakukan Fahmi sedemikian rupa.

‘Andai perkara itu tidak terjadi… Kiranya mampu masa berundur… Akan kusemi cintamu di hati nan satu ini, Fahmi..!’

Safira mula merasakan matanya semakin berat. Anak mata sudah mengecil. Tanpa disedari, Safira sudah pun terlelap. Membiarkan isi kandungan diari merah itu terbuka dan dibaca angin yang lalu.. Lena lah tidur Safira ditemani air mata.

******************




Jam sudah menunjukkan angka 7.30 pagi. Pintu pagar sekolah akan ditutup sebentar lagi. Beberapa orang pengawas sekolah yang berpakaian biru muda mengawal di tepi pintu pagar itu. Embun pagi sudah lama menghilang. Sinaran matarhari mula menampakkan bayangnya.

Kelihatan beberapa orang pelajar lelaki datang agak lewat. Pakaian selekeh hingga meneyebabkan mereka ditegur pengawas bertugas. Pengawas sekolah mencatit nama mereka biarpun dihambur dengan kata-kata yang sedikit kesat.. Begitulah gelagatnya pelajar-pelajar sekolah di zaman kini. Entah apa yang mempengaruhi mereka. Adakah kepesatan teknologi yang mengubah mereka? Ataupun ketidakprihatinan ibubapa yang seringkali mengabaikan mereka?

Cikgu Syafik memusing stereng kereta untuk memasuki kawasan Sekolah Menengah Seri Andalas. Decitan tayarnya yang mengeluarkan sedikit api mengejutkan beberapa orang guru lelaki yang masih berbual kosong di tempat letak kereta. Terbeliak mata mereka melihat warna oren garang kereta Proton Gen-2 milik Cikgu Syafik itu.

“Tukar warna lagi la tu..!!”

Setiap kali pun, itulah yang sering meniti di bibir kebanyakan guru lelaki sekolah itu. Sikap Cikgu Syafik yang seringkali menukar aksesori keretanya menimbulkan buah mulut orang. Mampukah gaji setakat lulusan ijazah itu menukar semua aksesori itu?
Aksesori yang kadangkala mencecah ribuan ringgit itu hanya mampu dibeli golongan kaya sahaja.

“Korang semua nak hairan apanya? Cikgu Syafik tu bukannya ada kekasih pun. Mestilah belanjanya banyak habis kat kereta kesayangan dia tu… Lain lah kalau ada perempuan yang sangkut kat dia, dah tentu belanjanya habis untuk perempuan tu..”


Guru-guru itu menanti masa untuk perhimpunan hari Isnin. Seperti biasa, itulah perkara yang sering berlaku setiap kali adanya perhimpunan. Bukannya hendak mengemas apa yang patut di bilik guru sebaliknya menghabiskan masa berbual bersama rakan sekerja. Cikgu Syafik juga tidak ketinggalan ikut sama.

“Hai…cikgu! Kenapa lambat ni? Mimpi apa malam tadi?” tegur Cikgu Zakaria yang tinggi lampai itu setelah melihat Cikgu Syafik yang baru keluar dari keretanya. Sambil mengeluarkan sebatang rokok dari kotaknya, Cikgu Zakaria terus menghembus asap setelah api dicucuh pada rokok itu.

Inilah senario yang sering terjadi di Sekolah Menengah Seri Andalas. Tidak sehebat nama sekolahnya lantaran telatah guru-guru muda di situ yang langsung tidak mengambil peduli peraturan sekolah. Bukankah sekolah adalah salah satu tempat larangan merokok? Kalaulah begini gelagatnya bagaimana pelajar di situ dapat mencontohi perbuatan baik?

“Mimpi yang menarik juga lah, Cikgu Zakaria! Seorang puteri yang indah rupawan menerima lamaranku.. Bahagianya hidup kalau ia benar-benar terjadi kan, cikgu?” balas Cikgu Syafik sambil menguntum senyuman di bibirnya.

“Tak usah nak berangan lah, Cikgu Syafik! Mustahil ada puteri yang inginkan cikgu! Sedangkan ramai guru perempuan di sekolah ini tak kira lah muda ataupun andartu yang sudah cikgu pikat, tak satu pun yang melekat di dahan cinta cikgu tu.. Barangkali cikgu kena mandi bunga ni…!” ucap Cikgu Naim sedikit mengejek lantas ketawa sinis.

“Hmm…!!” Cikgu Syafik mendengus geram. Menyumpah-nyumpah dirinya sendiri. Benar kata Cikgu Naim. Entah kenapa tiada perempuan yang sudi menyambut kasihnya Apakah cintanya tidak sehebat cinta Laila dan Majnum? Di sekolah itu, sudah beberapa guru perempuan cuba ditagih cinta mereka namun mereka tidak melayannya. Apakah yang kurang pada dirinya?

Cikgu Syafik meraba-raba wajahnya. Dia bukan tidak kacak. Wajahnya sedap mata memandang. Dengan alis kening yang sedikit lebat, lesung pipit yang sentiasa terbit di pipi bila senyum terukir, anak mata yang berwarna coklat, dan mukanya jarang sekali menjadi tempat jerawat bertamu. Persis Fahrin Ahmad!

Namun tiada seorang pun yang seakan menyedari kelibat cintanya. Mungkin benar kata-kata Cikgu Naim, perlu mandi bunga supaya tuah itu memunculkan diri di hadapannya.

Akibat cinta yang sering ditolak sang gadis, Cikgu Syafik seakan takut untuk menjelmakan dirinya dalam dunia cinta lagi. Bimbang penolakan itu berlaku sekali lagi. Malunya tiada kepalang. Cikgu Syafik seringkali menjadi bahan gurauan senda guru-guru lelaki di sekolah itu. Malah statusnya sebagai bujang terlajak menyebabkan ibu bapa di kampung selalu bising.

Dalam ramai-ramai guru lelaki, bolehlah dikatakan hanya Cikgu Syafik yang belum berkahwin. Sedangkan dia antara guru yang paling lama bermastautin di sekolah itu. Kalau ada guru lelaki muda yang masuk sekalipun, tak sampai setahun, pasti guru itu menjadi kepunyaan si dara. Hanya Cikgu Syafik yang ternanti-nantikan jodohnya sahaja.

“Aku dengar ada guru muda yang masuk ke sekolah kita hari ini..!” bicara Cikgu Faizal menyentuh gegendang telinga Cikgu Syafik.

“Lelaki??” tanya Cikgu Zakaria lalu puntung rokok yang sudah kecil ditunjal-tunjal dengan hujung kasutnya.

“Kalau lelaki, buat apa aku beria-ia cerita pada kamu semua? Sudah tentu guru perempuan! Dengarnya masih muda belia, lingkungan umur 26 rasanya.. Dia bertukar dari sekolah bandar di Gombak dulu.. Hari ini hari pertama dia untuk melaporkan diri..”

“Nampaknya aku ada peluang lah..!” ujar Cikgu Naim sambil mengenyitkan mata kanannya. Cikgu Naim memang terkenal dengan perangainya yang gatal dan buaya darat itu. Sentiasa dahagakan perhatian wanita muda sedangkan umurnya saja sudah mencecah empat puluh. Sudah beristeri dua dan mempunyai enam orang anak dari kedua-duanya.

“Kamu ni, Cikgu Naim! Sudah-sudah lah tu! Isteri dua orang kat rumah tu siapa nak jaga nanti? Bagilah peluang kepada orang muda di sebelah tu…” balas Cikgu Faizal sambil memuncungkan mulutnya ke arah Cikgu Syafik. Cikgu Syafik tersenyum menampakkan barisan giginya yang putih dan tersusun rapi. Sedangkan rasa takut mula bersarang di dalam hatinya. Apakah ini peluang diharapkan selalu muncul itu? Macam mana kalau gagal lagi?

“Pasti guru perempuan tu cantik kan? Maklum lah guru muda..” puji Ckgu Naim sedangkan hakikatnya dia sendiri belum pasti.

Cikgu Zakaria, Ckgu Faizal dan Cikgu Syafik sekadar senyum memerhatikan telatah Cikgu Naim itu. Kalau dah namanya lelaki, ditambah pula dengan perangai miangnya itu, memang bukan lelaki lah namanya.. Bagaimanalah nasib guru baru itu nanti??

*****************


“Baiklah, para pelajar! Hari ini kita akan menyambut kedatangan guru baru ke sekolah ini. Diperkenalkan, Cikgu Safira!” lantas suara pengetua bergema di sekitar tapak perhimpunan yang menghimpunkan lebih kurang seribu pelajar. Pelajar bertepuk tangan meraikan kedatangan guru baru itu. Ada bunyi siulan yang mengusik Safira..

Safira yang duduk di barisan paling hujung di antara guru perempuan itu bangun lalu menundukkan kepala tanda hormat. Seraya senyuman terukir di bibirnya yang bersalut lisptik merah jambu yang tidak berapa terang warnanya.

“Wah.. cantiknya cikgu baru tu.. Boleh lah kita usha kann..?” terdengar suara nakal berbisik. Kawan di belakang terus mengetuk kepalanya. Pelajar lelaki nakal itu berpaling ke belakang dan mendengus geram lalu digosok perlahan-lahan kepala yang sakit.

Tak jadi hendak marah kerana yang mengetuk kepalanya tadi adalah pengawas perempuan memakai tag nama ‘ DARIN ’ yang ditugaskan mengawasi barisan pelajar lelaki.

“Syhh… Senyap! Tak nampak pengetua tengah berucap ke?” kata Darin geram. Kalau diikutkan hati, malas rasanya menjaga barisan pelajar lelaki ini. Mereka ni suka buat bising. Tak tahu etika ketika berada di perhimpunan. Namun hendak buat macam mana, pengawas perempuan perlu menjaga barisan lelaki, begitu juga sebaliknya.

Pelajar nakal itu menjelir lidahnya. Kemudian beberapa orang pelajar yang berada berdekatan pelajar nakal itu bersiul pula mengenakan Darin. Merah padam muka Darin dibuatnya.

“Fakhri, Naufal dan Wafir! Ke depan sekarang!” laung pengetua dengan mikrofonnya. Serentak semua pelajar berpaling melihat pelajar yang dimaksudkan.

“Berdiri di situ!” sambung pengetua lagi. Hukuman biasa yang selalu mereka dapat.

“Mereka ni lagi! Kenapalah suka sangat buat hal? Memang ‘muka tembok’ betul lah..!” terdengar suara pelajar lain berbisik. Memang tak sah kalau setiap perhimpunan tiada muka pelajar bertiga untuk berdiri di depan. Hukuman kerana membuat bising. Pengetua sendiri sudah arif dengan kenakalan pelajar yang bertiga itu.

Safira kembali duduk di kerusinya. Guru perempuan yang berada di sebelahnya memberinya senyuman. Sambil menghulurkan tangan,

“Saya, Cikgu Durriyah! Guru Matematik di sekolah ini!”

Safira menyambut salam itu.Permulaan bagi satu kehidupan. Kehidupan lama yang Safira telah tinggalkan. Dan Safira membalas senyuman Cikgu Durriyah. Serentak keduanya berpaling ke hadapan. Menatap ratusan wajah anak-anak kecil yang kian meningkat dewasa. Di sinilah, mereka sebagai guru menabur jasa dan bakti melalui ilmu yang dicurahkan.

Hampir lima belas minit pengetua yang bernama Cikgu Ibrahim itu berucap. Pagi yang tadinya sejuk dibasahi embun kampung kian hangat disimbahi teriknya sang mentari yang telah lama menampakkan diri.

Setelah berhimpun dekat satu jam, akhirnya pelajar dan guru-guru bersurai. Masing-masing mula bergerak ke destinasi. Pelajar ke kelas mereka dan guru ke dalam bilik guru yang terletak di bangunan B. Guru-guru yang akan mula mengajar menyiapkan bahan pengajaran mereka. Beberapa guru yang belum sampai masa mengajarnya sibuk menjaja mulut bercerita itu dan ini. Siapa lagi kalau bukan Cikgu Anita, Cikgu Swee Lin dan Cikgu Noreen!

“Kau tahu, semalam aku pergi ke Kuala Lumpur! Suami aku ajak berjalan-jalan di sana. Wah.. banyaknya tempat untuk membeli belah. Semuanya dijual dengan harga yang murah! Rabun mata aku tengok barang-barang di sana..” bersungguh-sungguh Cikgu Noreen mencanang cerita. Tambahan pula Cikgu Noreen baru sahaja pulang dari cuti bulan madunya. Suaminya, guru sekolah itu juga, Cikgu Faizal. Dengan gaya gedik yang dibuat-buat, cukup menggambarkan Cikgu Noreen berasal dari kawasan bandar

Dengan pakaian yang sentiasa bertukar fesyen serta aksesori yang menghiasi tubuhnya, membuatkan pelajar dan guru mengenali Cikgu Noreen yang sebagai ratu fesyen. Biarpun pemakaian Cikgu Noreen sentiasa ditegur pengetua, ia bagaikan mencurah air ke daun keladi.

Pengetua tidak mahu pelajar-pelajar mempelajari sesuatu yang bakal menghabiskan kewangan ibubapa mereka. Memanglah Cikgu Noreen tidak berpakaian seksi tetapi aksesorinya mahal-mahal belaka. Dari hujung rambut hingga hujung kaki, semuanya berharga lebih dari gaji seorang guru berkelulusan ijazah.

Setelah ditunjukkan tempat baru untuk Safira, Cikgu Durriyah meminta diri untuk memulakan sesi pengajarannya. Safira menganggukkan kepala tanda mengizinkan. Lalu Safira merebahkan badan di belakang kerusi yang bersalut kapas lembut itu. Selesanya…
Safira memerhatikan mejanya yang masih kosong lalu mengalihkan pandangan ke meja Cikgu Durriyah yang letaknya bersebelahan sahaja. Meja itu penuh dengan barang-barang..

‘Suatu hari nanti meja aku pun akan penuh macam tu juga’

Safira berkata kepada dirinya sendiri. Lalu bibir mengukir senyum lagi. Teringat Safira akan kenangan lampau yang sebolehnya tidak mahu dikenang lagi. Setelah tiga bulan selepas kejadian yang memalukan itu, Safira mohon untuk berhenti kerja di syarikat tempatnya bekerja masa itu. Tidak sanggup lagi menghadapi kutukan dan hinaan yang semakin lama bernanah di dalam hati.

Bila mengetahui ada peluang untuk pelajar lepasan ijazah mengambil kursus perguruan di dada akhbar, segera Safira memohonya. Safira berharap dia akan dapat memulakan hidup yang baru setelah tamat kursus itu nanti. Sekurang-kurangnya Safira terlepas dari cacian masyarakat sekeliling. Sejak itu, Safira mula bertekad untuk berbakti kepada anak bangsa. Selagi terdaya, Safira sebaik mungkin akan cuba menyembunyikan rahsia silan yang memeritkan itu.

Safira seolah-olah bayi yang baru yang baru dilahirkan sejak kakinya melangkah kali pertama pagi tadi di Sekolah Menengah Seri Andalas itu. Seperti bayi kecil yang belum ternoda dari dosa dan ibarat kain putih yang belum tentu hasil coraknya. Sebegitu lah yang dirasa Safira. Semoga hari ini menjadi hari baru dalam hidup Safira…

Reaksi anda : 

6 Response to "Secarik Kasih Di Hujung Nafas 4"

  1. keSENGALan teserlah.. says:
    June 23, 2009 at 3:31 PM

    huhu..
    apsal ika wat cmtuh ek..?
    isk2..
    haha..ckgu syafik,,msok jarum la..
    pe lg..

  2. ::cHeeSeCaKe:: says:
    June 24, 2009 at 4:05 AM

    uhuh..sape hero? cikgu syafik erk?

  3. syah Says:
    June 25, 2009 at 11:58 AM

    apekh akn tmbl bunge2 cnta antre syafik n safira??
    jom kt sm2 nti kn nye..
    hohoho...
    smbg2...

  4. Org Ganu says:
    June 27, 2009 at 11:37 PM

    mesti timbul lah bunga2 cnta tuh
    hehe..
    cpt2 la sambung ek

  5. anak laut says:
    July 3, 2009 at 1:39 AM

    salam.bidadari cinta,

    minta dijauhkan dijangkiti penyakit yg bahaya tu..

    tq sudi singgah...

  6. anak laut says:
    July 3, 2009 at 11:01 PM

    tq singgah memberi ulasan di anaklaut

Post a Comment