Secarik Kasih Di Hujung Nyawa 5


Safira merenung jam dinding yang tersangkut berhadapan dengan katil tempatnya berbaring sekarang. Tepat pukul 12 pagi. Hari ini genaplah usianya mencecah 27 tahun. Tiada sambutan majlis harijadi. Tiada kawan-kawan bersama-sama mengucapkan ‘Selamat Harijadi, Safira!’ Tiada hadiah buatnya sebagai alat kegembiraan menyambut penambahan usianya.

Kalau dulu, Zulaikha pasti akan membeli kek untuk menyambut harijadi Safira. Selama Safira dan Zulaikha duduk serumah bersama, sudah tiga kali mereka menyambutnya. Bererti sudah tiga tahun mereka bersahabat. Seringkali Safira menerima hadiah dari kawan serumahnya yang rapat itu. Fahmi pula pastinya merajuk kerana dia menjadi orang kedua yang mengucapkan kata-kata itu dan juga orang kedua bila memberiku hadiah. Tetapi Safira berjaya juga memujuk Fahmi. Safira menyatakan Fahmi tetap menjadi orang teratas di hati Safira.

Namun kini, sudah hampir dua tahun Fahmi pergi meninggalkan Safira. Meninggalkan alam yang fana ini untuk bertemu Tuhan mereka. Juga kehilangan Zulaikha sebagai teman karibnya dan kehilangan keluarga yang telah memutuskan ikatan saudara yang terjalin sejak kecil. Mengenangkan itu semua, Safira menangis sendiri. Sedih membayangkan hidupnya keseorangan di rantau orang. Tiada berteman tempat suka dukanya. Hanya kerana secalit lumpur yang bukan diciptanya itu telah terpalit di muka.

Terkenangkan peristiwa siang tadi, bibir Safira mula menguntum senyum. Alhamdullillah, akhirnya ada juga insane yang sudi menjadikannya teman di kala sendirian di tempat asing ini.Cikgu Durriyah! Nama yang cantik, secantik orangnya. Manis senyuman guru itu saat dia menyapa Safira kelmarin. Betubuh genit dan bertudung litup. Persis seorang ustazah namun Cikgu Durriyah mengajar matematik di sekolah itu. Barangkali terbiasa dengan didikan sejak awal lagi. Safira pasti, guru itu tentunya sudah berpunya.

Namun di saat matanya tertancap di meja guru muda itu tadi, tiada satupun frame gambar antara Cikgu Durriyah dengan pasangannya. Agaknya Cikgu Dyrriyah bukan jenis yang suka menunjuk. Tapi tidak mengapa, satu hari nanti, pasti sedikit sebanyak, Safira akan tahu juga tentang guru itu.

Safira menarik selimut hingga ke paras dada. Safira membaca doa tidur di dalam hati. Mengharapkan mimpi indah akan membaluti lenanya sebentar nanti. Semoga hari yang mendatang, menimbulkan semula keceriaan di dalam hatinya.

*************


“Selamat pagi, cikgu!!”

Ucapan selamat pagi bergema satu kelas 5 Anggerik. Hari ini merupakan hari pertama Safira secara rasminya bergelar guru sekolah menengah. Safira cuba menutup rasa debar di dada. Dia harus yakin untuk berdepan dengan pelajar di depannya. Tambahan pula bila Cikgu Durriyah memberitahu sedikit sebanyak tentang sekolah itu lebih-lebih lagi kenakalan pelajar di sebuah kelas bernama 5 Anggerik itu.

“Aku harap kau tabah menjalani kehidupan kau di sini sebagai seorang guru. Jangan guna kekerasan dalam mendidik para pelajar. Anggap mereka seperti anak kita. Mereka perlu dilatih dan di ajar dengan cara yang lemah-lembut, bukannya keganasan! Cikgu seperti kita sekarang selalu dikritik. Kau sendiri sedia maklum banyak kes melibatkan pelajar sekolah terpampang di dada akhbar! Guru rotan pelajar sampai mati, guru membelasah pelajar dan bermacam-macam lagi.. Kau kena ingat tu, Safira!”

Kata-kata Cikgu Durriyah tersemat di hati Safira. Masih terngiang-ngiang nasihat itu pagi tadi sebelum Safira memulakan langkah pertama bergelar guru.

‘Ya! Aku perlu menjadi pendidik yang berguna untuk bangsa dan agama. Mereka umpama rebung. Mudah dibentuk dari awal. Aku bakal mencoraknya kelak. Pasti aku boleh buat!’

Safira mula membuat azam di dalam dirinya sendiri. Tekad dibulatkan. Apa yang pasti kisah silam yang pernah membelenggu diri Safira dulu perlu di tutup habis. Safira akan melupakan segalanya dengan hidup baru ini. Ya, itu sudah pasti..!

“Hello, cikgu! Jauh mengelamun! Ingatkan siapa pula tu..? Ingatkan jejaka mana dalam kelas ni? Dalam kelas ni ramai jejaka handsome, cikgu! Terpikat yang mana satu, cikgu?”

Suara garau yang menyapa pendengaran mencantas khayalan Safira sebentar tadi. Safira mula mempamerkan senyuman serupa kambing. Sudah tersengih-sengih macam kerang busuk. Serentak, kepala diketuk beberapa kali dengan perlahan tanda menyedari kesilapan diri. Malu kerana pelajar kelas itu mengusiknya. Rona muka Safira sudah berubah warna.

“Cikgu, kepala cikgu kepala besi ya?? Muka cikgu merah la…” perli seorang lagi pelajar lelaki lalu seisi kelas gamat dengan gelak ketawanya. Lucu melihat telatah guru baru mereka itu. Serupa kanak-kanak saja kelakuannya. Pipi Safira sudah membahang panas. Malu!

“Kamu semua ni suka main-mainkan cikgu ya?? Ok lah, hari ni kita tak perlu belajar……”

Belum habis cakap lagi, terdengar sorakan gembira di belakang kelas. Tiga pelajar lelaki sedang membuat sarkas di situ. Salah seorang mula bergelek-gelek atas meja sambil bersorak. Pelajar lain yang melihat hanya menggeleng sambil ketawa lucu dengan telatah mereka bertiga. Pelajar nakal yang terkenal di Sekolah Menengah Seri Andalas. Itulah Naufal, Fakhri dan Wafir.

Safira cuba menteteramkan suasana kelas itu. Jeritan kali pertama tidak diendahkan.. Jeritan kedua….?
“Diammm!!!”

Semua pelajar diam tidak berkutik. Sunyi sepi tatkala jeritan nyaring guru muda itu meminta mereka semua diam. Pelajar yang membuat sarkas sebentar tadi sudah turun dari mejanya. Yang lain-lain mula mengisi tempat duduk masing-masing.

“Hari ini kita mulakan seisi suai kenal. Cikgu nak kenal kamu semua. Jadi, cikgu harap kamu beri kerjasama. Mulakan dari meja sebelah kiri. Perkenalkan nama, asal kamu, cita-cita kamu dan apa matlamat kamu datang ke sekolah ini. Mulakan sekarang!” tegas suara Safira mengarah pelajarnya.

Ada yang terkebil-kebil melihat ketegasan guru baru itu. Ada juga yang mencebik tanda tidak puas hati.

Maka, bermula sesi mengenalkan diri. Di dalam kelas 5 Anggerik itu, ada seramai 40 orang pelajarnya. 25 perempuan dan 15 lagi adalah pelajar lelaki. Tahun itu saja sudah dua kali guru kelasnnya bertukar. Ramai guru yang mengajar tidak tahan mengajar di kelas itu. Ada saja kenakalan yang dilakukan pelajarnya hingga menakutkan sesetengah guru untuk masuk mengajar di kelas itu.

Akibatnya, pelajaran mereka merosot. Kebimbangan itu turut dirasai oleh pengetua, Cikgu Ibrahim. Namun kenakalan pelajar 5 Anggerik seolah-olah tiada batasnya. Mereka sewenangnya melakukan kesalahan dan kenakalan mereka. Hanya beberapa orang pelajar saja yang boleh dikategorikan dalam golongan pelajar yang baik.

Loceng berbunyi menandakan waktu rehat. Berpusu-pusu para pelajar meninggalkan kelas mereka untuk ke kantin bagi mengisi perut. Masa rehat yang Cuma setengah jam itu digunakan untuk mereka merehatkan minda dari pelajaran sebentar tadi.

Safira mengemaskan failnya sambil menggelengkan kepala. Pelajar 5 Anggerik itu tidak ubah seperti kanak-kanak tadika. Menjerit kesukaan sebaik mendengar loceng berbunyi tadi. Sorakan bergema dan membingitkan telinga..

‘Macam ada kat pasar saja gelagar budak-budak ni..’ desis hati Safira.

Safira melangkahkan kaki menuju ke bilik guru. Beberapa orang pelajar yang berselisih dengannya mengucapkan salam kepadanya dan Safira membalas. Masih ada etika baik yang diamalkan oleh pelajar Sekolah Menengah Seri Andalas ini.

Safira menapak di mejanya lalu meletakkan fail tadi di atas meja. Safira melabuhkan punggung di kerusi. Pen diambil dari dalam meja lantas tangannya mencatat di fail laporan kelas itu.

“Hai, cikgu! Sibuk nampaknya. Macam pengajaran pertama hari ini, ok??”

Teguran dari Cikgu Durriyah dijawab dengan senyum manis Safira.

“Baik saja!” balas Safira kemudiannya.

“Baguslah kalau begitu. Harap cikgu dapat mengatasi kenakalan pelajar kelas 5 Anggerik itu. Mana tahu hujung tahun ni kita boleh dengar pelajar cemerlang SPM adalah dari kelas yang paling nakal itu..” jawab Cikgu Durriyah.

Safira tersenyum nipis. Moga-moga harapan itu menjadi kenyataan. Dalam masa yang sama, satu kumpulan pelajar sedang berbual mengenai guru baru mereka itu…

Reaksi anda : 

3 Response to "Secarik Kasih Di Hujung Nyawa 5"

  1. MaY_LiN Says:
    August 6, 2009 at 8:00 PM

    smg kesedihan beransur pergi..

  2. rainz says:
    August 7, 2009 at 4:38 PM

    jgn la post lambat sgt eh..cerita ni menarik.

  3. anak laut says:
    August 8, 2009 at 1:19 PM

    salam..bidadari,

    pelajar sifatnya nakal..biasalah tu..
    cerita yang menarik..

Post a Comment