Jenis-jenis Air Mata

Kata Ibnu Qayyim - 10 Jenis Tangis


1) Menangis kerana kasih sayang & kelembutan hati.

2) Menangis kerana rasa takut.

3) Menangis kerana cinta.

4) Menangis kerana gembira.

5) Menangis kerana menghadapi penderitaan.

6) Menangis kerana terlalu sedih.

7) Menangis kerana terasa hina dan lemah. Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.

9) Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.

10) Menangis orang munafik - pura-pura menangis."..dan bahawasanya DIA lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis." (AnNajm : 43)


Jadi, Allah lah yang menciptakan ketawa dan tangis, serta menciptakan sebab tercetusnya. Banyak air mata telah mengalir di dunia ini. Sumber nya dari mata mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi. Mata itu kecil namun ia tidak pernah kering ia berlaku setiap hari tanpa putus-putus. Sepertilah sungai yang mengalir ke laut tidak pernah berhenti?. kalaulah air mata itu di tampung banjirlah dunia ini.


Tangis tercela atau terpuji ??Ada tangisan yang sangat di cela umpamanya meratapi mayat denganmeraung dan memukul-mukul dada atau merobek-robek pakaian.Ada pula tangisan sangat-sangat di puji dan di tuntut iaitu tangisan kerana menginsafi dosa-dosa yang silam atau tangis kerana takut akan azab dan siksa Allah. Tangisan dapat memadamkan api Neraka "Rasulullah saw bersabda : Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan terkotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan di rahmati. Tidaklah ada sesuatupun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka.


"Air mata taubat Nabi Adam a.s Beliau menangis selama 300 tahun tanpa mendonggak ke langit tersangat takut dan hibanya terhadap dosa yang telah ia lakukan. Dia bersujud di atas gunung dan air matanya mengalir di jurang Serandip. Dari air matanya itulah Allah telah menumbuhkan pohon kayu manis dan pohon bunga cengkih. Beberapa ekor burung telah meminum akan air mata Adam lalu berkata, "Manis sungguh air ini." Nabi Adam terdengar lalu menyangka burung itu mempersendakannya lalu ia memperhebatkan tangisannya.Lalu Allah mendengar dan menerima taubat Adam dan mewahyukan, "Hai Adam sesungguhnya belum Aku pernah menciptakan air lebih lazat daripada air mata taubat mu!.


"Air mata yang tiada di tuntut - Janganlah menangis kalau tak tercapai cita-cita bukan kah Tuhan yang telah menentukannya. Janganlah menangis nonton filem hindustan itu kan cuma lakonan. Janganlah menangis kerana cinta tak berbalas mungkin dia bukanlah jodoh yang telah Tuhan tetapkan. Janganlah menangis jika gagal dalam peperiksaan mungkin kita kurang membuat persediaan. Jangan menangis kalau wang kita hilang di jalanan sebab mungkin kita kurang bersedekah buat amalan. Janganlah menangis kalau tidak di naikkan pangkat yakin lah, rezeki itu adalah pemberian Tuhan.


Dari itu??.. Simpanlah air mata-air mata tangisan itu semua buat bekalan untuk menginsafi di atas segala kecuaian yang telah melanda diri, segala dosa-dosa yang berupa bintik2 hitam yang telah mengkelamkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah swt.


Seru lah air mata itu dari persembunyiannya di balik kelopak mata agar ia menitis membasahi dan mencuci hati agar ia putih kembali dan juga semoga ia dapat melebur dosa2 an moga-moga akan mendapat ampunanNya jua. Junjungan Mulia bersabda " Ada 2 biji mata yang tak tersentuh api neraka, mata yang menangis di waktu malam hari kerana takut kepada Allah swt dan 2 biji mata yang menjaga pasukan fi sabillah di waktu malam."


"Di antara 7 golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah dihari qiamat"?? seseorang yang berzikir bersendirian lalu mengenang tentang kebesaran Allah swt lalu bercucuran air matanya."


"Jika tubuh seseorang hamba gementar kerana takut kepada Allah, maka berguguran lah dosa-dosanya bak gugurnya dedaunan dari pepohonan kering.


"Berkata Salman Al Faarisi .a


Aku di buat menangis atas 3 perkara jua :


1) Berpisah dengan Rasulullah saw dan para sahabat-sahabat.

2) Ketakutan seorang yang perkasa tatkala melihat malaikat Israil datang mencabut nyawanya.

3) Aku tidak tahu sama ada aku akan di perintahkan untuk ke syurga atau neraka. Air mata tanda rahmat Tuhan.


Rasulullah saw bersabda : Jagalah mayat ketika kematiannya & perhatikanlah 3 perkara.


1) Apabila dahi nya berpeluh.

2) Airmatanya berlinang.

3) Hidungnya keluar cecair seperti hingus.kerana hal hal tersebut menandakan rahmat Allah swt untuk si mayat.(riwayat dari Salman al Faarisi)


Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :


"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu, Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu, dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memilikimu."


P/S : Buat teman-teman, n3 ni sy dpt dr email.. buat pedoman n pengetahuan semua. Dapat juga kita menambah ilmu di dada. Sementara menanti n3 terbaru yg tgh sy edit hari ini.. Salam sayang buat anda semua.. Rasenya masih belum terlewat lg, sy ucapkan

'SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI & MAAF ZAHIR BATIN!'

Reaksi anda : 

Secarik Kasih Di Hujung Nyawa 8

Zulaikha merenung album gambar di tangannya. Baru sekejap tadi dia mengemas barang-barang yang diletakkan bawah katil. Sudah berhabuk di bawah tempat tidurnya. Dari minggu lepas lagi, Zulaikha berkira-kira mahu mengemas biliknya. Baru hari ini dia berkesempatan.

Sudah habis dibelek-belek gambar di dalam album berwarna biru itu. Termenung seketika Zulaikha. Sudah hampir dua tahun kisah itu berlalu. Perbuatannya membantu seorang kawan untuk memfitnah kawan serumah yang baik dengannya. Alangkah berdosanya dia kerana melakukan perkara sekeji itu. Mengapa manusia tidak pernah terlepas dari mempunyai hati yang dengki dan busuk?

“Ya Allah! Aku berdosa padaMu. Menganiaya kawanku sendiri yang tidak mengetahui akan kebenarannya. Hingga dia mengalami kesusahan. Ampunkan dosaku..”

Rintihan Zulaikha yang diringi dengan doa itu dituturkan seikhlas mungkin. Entah mengapa saat matanya menatap wajah yang mulus di dalam gambar itu tadi, terbit pula rasa bersalahnya di sudut hati yang kecil itu. Tertanya sendiri mengapa dia sanggup buat begitu. Dadanya berdebar mengingatkan apa yang dilakukan tidak lama dulu. Perbuatannya telah menyebabkan kawannya itu kehilangan segalanya di dalam hidup.


"Di mana kau sekarang?" Zulaikah berbisik perlahan.

‘Mampukah aku mengutip kata-kata kemaafan darimu nanti?’

Zulaikha bertanya pada dirinya sendiri. Lantas album lama itu ditutup kembali lalu diletakkan atas tilam. Zulaikha bingkas bangun lalu menuju ke biliknya. Dirinya perlu dibersihkan. Terlalu banyak dosa yang dilakukan tanpa dia menyedari. Zulaikha mahu bersujud ke hadapan Tuhannya. Mahu memohon agar diberi kesempatan untuknya bertemu Safira kelak.


~~~~~~~~~

“Abang, terima kasih untuk makan malam tadi. Nita bahagia sangat dengan usia perkahwinan kita yang semakin lama ini, menambahkan lagi rasa sayang Nita pada abang.”

Luahan Puan Hanita didengari oleh Dr. Zafwan. Lalu Dr Zafwan menguntum senyum buat isterinya itu. Selama ini mereka kurang mesra gara-gara peristiwa lama. Puan Hanita kurang bersetuju dengan tindakan suami kesayangannya itu. Namun terpaksa diturutkan jua. Puan Hanita tidak mahu membantah kata suaminya kerana syurga seorang isteri terletak dalam keredhaan sang suami. Selama ini Safira berdiam diri saja.


Biarlah hatinya terluka. Anak yang dikandung selama sembilan bulan sepuluh hari itu tetap juga hilang di pandangannya kini. Tetapi hasrat yang dipendam bertambah pedih untuk disimpan lebih lama lagi. Tak tertanggung rasanya.

Ketika itu, mereka dalam perjalanan menuju ke kereta setelah makan malam di sebuah restoran eksklusif.

“Baguslah Nita gembira. Selama ni, Nita tak ceria saja abang tengok. Abang memang berharap makan malam kali ni, meriangkan hati Nita,” balas Dr. Zafwan. Sebenarnya sudah sebulan Dr. Zafwan merancang makan malam itu. Niatnya hanya untuk menceriakan hati isterinya yang gundah gelana.

“Nita cakaplah apa yang Nita inginkan. Apa saja. Abang akan cuba tunaikan, insyaAllah! Lagipun sudah lama abang tak beri hadiah pada Nita kan?”

“Betul ke, bang? Apa saja?” riang Puan Hanita bertanya. Kelihatan bercahaya matanya yang suram. Perlukah aku khabarkan hajat yang terbuku sebelum ini? Walaupun bimbang bertandang di hati?

Ragu-ragu Puan Hanita membuka mulut. Keliru dan bimbang. Takut apa yang dihajati akan ditolak mentah-mentah oleh suaminya.

“Kalau abang menolak, macam mana?”

“Macam mana abang nak menolak, Nita sendiri tak cakap apa bendanya tu.. Cakaplah..Takkan takut pula?”

Dr. Zafwan membalas sambil tangan memusingkan kunci kereta untuk menghidupkan enjin kereta. Dibiarkan seketika. Setelah enjin dirasakan panas, Dr. Zafwan memusingkan stereng keluar dari tempat letak kereta.

“Nita mahu keluarga kita seperti dulu, bang! Nita mahu Safira kembali dalam keluarga kita. Nita…. Nita rindukan anak sulung kita tu..” luah Puan Hanita perlahan. Terdengar nafasnya yang bersatu dengan esak tangis.

Puan Hanita tidak tahu mengapa hatinya terlalu hiba bila bibir menyebut nama Safira. Mungkin kerana dia tidak larat lagi untuk menanggung rindu yang kian sarat itu. Dua tahun. Dua tahun tidak mendengar satu khabar pun tentang Safira. Entahkan masih hidup atau telah tiada di alam fana ini.

Biarlah orang mengatakan dua tahun itu baru sekejap namun hati seorang ibu takkan mampu menghilangkan rasa sayang yang selama ini mengiringi hidupnya. Mana mungkin anak kandung itu terus dilupakan

Dr. Zafwan yang mendengarnya terkesima. Tidak di sangka itu hajat si isteri. Mengapa tiba-tiba diungkit tentang anak yang satu itu? Anak yang telah memalukan dia dulu. Anak yang begitu tegar menconteng arang di wajahnya. Hinggakan dia terasa malu untuk berdepan dengan saudara mara.

Adik beradik menuding jari menuduh dia tidak tahu membela anak. Tidak tahu menjaga dan mendidik anak hingga sempurna. Walhal, tidak semua orang dilahirkan sempurna di dunia ini. Sikap jahat dan baik tetap ada di hati manusia.

Teringat kata-kata Dr Ikmal siang tadi. Kata berupa nasihat itu terngiang di hujung telinga.

“Kau tak kasihan kan dia ke? Kau sisihkan dia dari hidup keluarga kau. Dia masih mentah lagi. Air dicincang takkan putus, Zafwan! Hal tu pun dah lama berlalu. Tiada orang akan ingat kejadian tu lagi. Lagi pun aku percaya, anak kau tu tak bersalah.. Mana tahu kalau-kalau ada yang aniaya dia sebab tak puas hati ke..? Kau pun tak selidik hal tu dulu. Kau terus salahkan dia.. Kau langsung tak fikirkan nasib dia selepas kau halau dia dulu. Sebenarnya aku kasihankannya. Kau sendiri tahu kan, aku dah anggap dia macam anak aku sendiri. Safira tu pun dulu rapat sangat dengan isteri aku.”

Mungkin benar anaknya tidak bersalah dalam hal itu. Namun iblis tetap akan cuba menyesatkan anak-anak Adam hinggakan mereka bisa memecah-belahkan sesebuah keluarga itu.

Hatinya seringkali berbisik itu memang itulah sikap sebenar Safira. Tingkah laku baiknya itu hanya melindungi topeng wajah jahatnya. Anak itu tidak tahu mengenang budi. Telah cukup pelajaran dan didikan agama diberi. Namun ini yang dibalasnya. Mengapa hal itu berlaku juga? Ahh.. mengapa bisikan jahat itu masih kedengaran lagi?

“Safira bukan anak kita lagi, Nita! Abang tak mahu tahu tentang dia.”

“Kenapa, bang! Sebab hal dulu? Benda tu dah berlalu. Safira tu zuriat abang. Hasil dari benih cinta kita. Kenapa abang benci sangat kat dia? Naluri saya kuat mengatakan Safira tak bersalah. Kita yang menuding jari menuduh dia tanpa kita siasat hal sebenarnya. Sepatutnya sebagai ibubapa, kita menyebelahi dia, kita siasat perkara sebenar, kita bagi sokongan pada dia. Entah apa jadi padanya sekarang, kita tak tahu, bang!”

“Mengapa, Nita? Mengapa Nita sebut tentang dia? Bukankah abang dah cakap tadi? Abang tak nak tahu apapun dari dia.”

“Safira anak kita, bang! Air dicincang takkan putus. Sejauh mana Safira pergi biarpun ke hujung dunia, hubungan itu takkan putus. Abang mahu bila dia sudah tiada lagi di dunia ni, baru abang nak menyesal? Baru nak menangis air mata darah?”

“Kenapa Nita degil sangat ni?”

“Nita degil sebab abang! Abang yang degil! Ego tak bertempat! Dengan anak sendiri nak berkira. Yang abang tarik kad kredit dan kereta dia tu kenapa? Kalau abang tak ambil semua tu, kita boleh jejak Safira di mana. Abang sendiri yang tanya tadi, apa hajat Nita, kan? Sekarang Nita dah bagitau abang. Terpulang abang nak tunaikan atau tak. Tapi itu satu-satunya hajat dan hasrat Nita selama dua tahun ni. Kalau abang tak tunaikan, abang juga yang menyesal nanti..”

Puan Hanita meluahkan rasa marahnya. Berdosa rasanya meninggikan suara terhadap suami namun apakan daya. Rindu yang tiada penghujung itu memaksanya melakukan begitu. Naluri seorang ibu takkan mampu menghalang rindu itu.

“Jadi Nita ugut abang lah sekarang ni ya?”

“Nita bukan ugut, bang! Nita cuma mahu hasrat Nita ditunaikan. Bukan besar mana pun permintaan Nita. Mustahil abang tak rindu dia.” Puan Hanita mengendurkan suaranya. Diseka air mata yang keluar dengan tisu.

“Permintaan Nita terlalu berat!”

“Jadi, abang tak boleh penuhi hajat Nita tu?”

“Mmm…”

“Abang terlalu kejam!”

“Abang bukan kejam….”

“Abang tak mampu jadi suami yang baik buat Nita dalam dua tahun ini. Nita kecewa dengan abang..”

“Kenapa Nita cakap macam tu? Abang sayangkan Nita.. Abang juga sayang anak-anak kita kecuali……?”


“Baiklah! Andai sesuatu berlaku pada Nita, abang serahkan surat yang Nita simpan dalam almari kain kita pada Safira nanti. Nita luahkan segalanya dalam surat tu untuk Safira. Nita mahu abang maafkan Safira. Maafkan segala kesalahan dia. Nita sendiri sudah maafkan dia. Sebab Nita mahu hidupnya diiringi doa Nita walaupun dia berada jauh dari Nita.”

Dr. Zafwan menghentikan keretanya di tepi jalan. Cuba meredakan rasa sedih isterinya.

“Jangan cakap macam tu, Nita! Kalau Nita tiada, apa guna abang hidup? Abang terlalu sayangkan Nita. Nita sendiri tahu sayang abang bagaimana pada Nita. Sejak di universiti lagi kita dah bercinta. Abang perlukan Nita untuk menjadi tulang rusuk kiri abang ni.. Memang Nita yang ditakdirkan buat abang. Jangan sebab hal yang kecil macam tu…”

Dr. Zafwan mengenggam tangan Puan Hanita.

“Hal kecil?? Kecil pada abang tapi besar buat Nita. Abang takkan faham hati seorang ibu..”

Puan Hanita meleraikan genggaman suaminya.

Tanpa keduanya menyedari, sebuah lori treler datang dari belakang dengan kelajuan yang maksima. Lampu signal yang tidak terpasang, tambahan keadaan jalan yang gelap kerana tiada lampu jalan menyebabkan kereta dirempuh dari belakang.

“Bummmmmm!!!!”

~~~~~~~~~

Keesokan paginya, Berita Harian memaparkan,

‘Kemalangan Teruk Di TTDI’

TTDI 8 Sept.- Satu kemalangan teruk melibatkan lori treler dan sebuah kereta Proton Waja berlaku di TTDI malam tadi. Menurut laporan, keadaan jalan yang gelap menyebabkan pemandu lori treler itu tidak mengetahui sebuah kereta berada di bahu jalan lalu merempuhnya menyebabkan pasangan suami isteri yang berada di dalamnya tersepit.

Difahamkan, pemandu lori itu yang mabuk telah ditahan pihak polis. Keadaan suami isteri itu pula belum dapat dikenal pasti. Kereta yang hancur dan kemek itu telah dialihkan dan siasatan akan dijalankan.


Reaksi anda : 

Secarik Kasih Di Hujung Nafas 7

Papan tanda bilik air guru wanita itu diterbalikkan. Menandakan ada orang di dalamnya. Sekolah Menengah Seri Andalas memang kekurangan tandas untuk para guru. Mujurlah tiada guru yang berebut tandas setiap hari. Setiap bloknya hanya ada satu bilik tandas dan tandas akan dikongsi oleh guru lelaki dan perempuan. Hanya tandas di bilik guru sahaja yang besar. Sudah banyak kali pula pengetuanya memaklumkan kepada pihak yang terbabit untuk menambah bilangan tandas buat guru namun masih tiada jawapan yang diterima.

Ruang yang sempit itu pastinya menyukarkan pergerakan Safira untuk menyalin pakaian. Namun Safira terpaksa juga menukar pakaiannya. Kerana selepas ini ada kelas yang perlu diajar. Takkanlah nak mengajar dengan pakaian yang basah dan kotor itu?

Sudah lima bulan Safira mengajar di situ. Alhamdullillah, segalanya berjalan dengan baik. Safira juga sudah mempunyai kawan baru. Yang memahaminya malah sanggup membantunya tatkala dia kesusahan.

Baju kurung yang basah telah diganti dengan pakaian baru yang sememangnya dibawa hari ini. Macam tahu-tahu saja memang kena tukar pakaian lagi hari ini. Safira sudah agak pasti hal semalam akan berlaku sekali lagi. Kenakalan pelajar yang berada di bawah jagaannya agak sukar untuk diperhatikan. Ada sahaja yang dilakukan untuk mengenakan Safira. diSemalam pun dah kena sekali tapi yang semalam punya hal lagi teruk. Mm.. agaknya lepas ni boleh lah Safira jadi tauke pakaian pula kot..

Safira memutarkan kembali ingatan pada peristiwa kelmarin. Entah macam mana, ketika Safira sedang mengajar kelas 5 Anggerik itu sewaktu memberi penerangan tentang subjek yang diajar hari itu, Safira berjalan di belakang kelas lalu kakinya telah terpijak sesuatu benda yang licin menyebabkan Safira tersembam jatuh macam nangka busuk.

Keadaan jatuh Safira itu mengundang ketawa para pelajarnya. Tambahan pula tanpa Safira menyedari, mukanya terpalit dengan lumpur yang entah dari mana datangnya. Safira melihat ada satu baldi kecil berwarna merah yang mengandungi lumpur tumpah di depannya. Mata Safira mengecil. Geram. Lalu kelas 5 Anggerik gamat dengan suara bising dan gelak ketawa.

‘Ish…bila masa pula ada baldi kecil di sini?? Macam mana lah mereka bertiga tu boleh bawa masuk lumpur dalam kelas ni? Entah dari mana datangnya lumpur ni..?’

Pinggang Safira sungguh sakit ketika itu. Buntang mata Safira bila tahu dirinya menjadi bahan usikan. Safira naik geram melihat benda licin yang dipijaknya tadi adalah kulit pisang. Dalam fikirannya, Safira terfikir kantin sekolah ada menjual pisang ke semasa waktu rehat?

Puas difikir namun otaknya hanya memikirkan kenakalan pelajar kelas 5 Anggerik yang semakin nakal dari hari ke hari. Entah apa yang di fikiran pelajarnya sampai Safira diusik dengan teruk setiap hari. Insiden Safira jatuh tersembam menjadi isu harian kelas itu sejak dua hari lepas.

Soalan itu sekadar berlegar di fikiran Safira. Nak menghukum mereka yang membuatnya begitu, Safira tiada bukti. Namun Safira pasti, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya kan jatuh ke tanah jua..

‘Tunggu lah masanya nanti!’

Hanya itu kata-kata yang mampu lahir di hati Safira. Walhal di hatinya tiada sekelumit dendam pun untuk membalas perbuatan pelajarnya itu. Safira akui lama kelamaan pasti pelajarnya akan berubah sikap. Senakal-nakal mereka pun Safira tahu mereka akan berjaya juga dalam SPM tahun ini.

Safira tahu itu semua kerana dia juga pernah melalui zaman remaja. Kenakalan Safira tidaklah seteruk pelajar 5 Anggerik kerana waktu itu Safira adalah pengawas sekolah. Displin yang diberi melatih Safira untuk mematuhi peraturan sekolah. Hanya sekali sekala sahaja Safira berlaku nakal. Itupun kerana mengusik seorang pelajar baru ketika menjalani minggu orientasi sekolah.

Safira sudah siap menyalin pakaiannya. Lalu Safira membuka pintu tandas yang kecil itu, telinganya menangkap suara kesakitan di sebelah sana. Tak disangka pintu itu mengenai seseorang.

“Aduhhh…!”

Segera Safira menutup pintu tandas. Di depannya kini seorang guru lelaki sedang menggosok-gosok dahinya. Sakit agaknya sebab kena hentam dengan pintu tandas yang baru Safira buka sebentar tadi.

Safira mengagak lelaki itu pastinya salah seorang guru di situ setelah melihat pakaian yang dipakai lelaki itu. Kemas dan sedikit bergaya. Alah.. semua guru lelaki di situ pastinya segak berpakaian kemas begitu.

“Maaf kan saya! Saya tak sengaja!” segera Safira menutur kata maaf. Lelaki itu masih menggosok-gosok dahinya yang sedikit berbenjol.

Kepala lelaki itu terdongak ke atas. Lalu mata kedua-duanya bertentangan. Lama. Hingga kemudiannya Safira berdehem kecil.

“Agaknya mata awak ni buta ke apa?” terhambur kata-kata yang sedikit keras dan menyapa pendengaran Safira. Malu dengan apa yang dibuatnya sebentar tadi.

“Saya minta maaf!” ujar Safira sekali lagi. Kepala ditundukkan ke bawah. Takut menatap wajah yang kemerahan menahan marah.

“Lain kali sebelum buka pintu tu perlahan-lahan la sikit. Entah-entah ada orang kat luar yang sedang tunggu ke atau apa ke. Dah tahu tandas guru kat sekolah ni kecil lagi nak buat macam tadi..” bebel guru lelaki itu. Safira hanya diam. Takkan nak membalas sebab memang salahnya tadi.

“Ya..” balas Safira perlahan.

Hingga akhirnya terdengar bunyi loceng dibunyikan. Safira bergegas keluar dari tandas. Sekarang waktu rehat! Tak dipedulikan guru lelaki yang masih membebel marah padanya tadi.

“Eh, awak??” panggil lelaki itu. Ada sesuatu yang ingin dikatakan namun melihat bayangan gadis di depannya tadi yang mulai menghilang, hajatnya tidak disampaikan.

************

“Kau ni kelakar lah, Safira! Asal loceng bunyi, orang pertama yang aku nampak kat sini, mesti kau! Macam lah takde muka lain dah..” rungut Cikgu Durriyah manja. Sekadar mahu mengusik.

Safira tidak melayan usikan Cikgu Durriyah. Sebaliknya wajahnya masam sahaja. Cikgu Durriyah menyedari keadaan itu.

“Kau kenapa?”

“Tadi masa aku buka pintu tandas, pintu tu terkena seorang guru lelaki lah. Dahinya benjol sikit. Dia marah aku tadi,” jelas Safira. Safira memandang ke depan. Kelihatan Pak Cik Leman sibuk melayan pelajar yang datang membeli makanan di kantinnya.

“Siapa?”

“Entah lah. Aku tak kenal sangat guru lelaki kat sekolah ni.”

“Lupakan lah.. sekarang masa makan. Jangan buat muka macam tu. Nanti rezeki lari..”

Kata-kata Cikgu Durriyah dibalas dengan ketawa nipisnya. Senyumnya tidak lah terlalu besar. Malu dia untuk ketawa bagai orang gila bila mendengar rungutan Cikgu Durriyah yang entah berapa kali masuk ke pendengarannya. Lagipun ada guru lelaki yang sedang menjamu selera di situ juga.

Mata Safira cuba mencari guru lelaki itu. Ditatapnya satu persatu wajah-wajah di situ. Tiada. Agaknya dia tidak turun makan. Atau pergi cari ubat untuk dahi yang benjol itu.

“Betul lah kata kau. Aku rasa aku dah jadi orang terakhir ni..” Safira mengeluh kecewa bila apa yang dihajati tidak kesampaian. Dilirik meja makan yang biasanya mengandungi mangkuk-mangkuk sederhana besar itu. Kosong!

“Tu lah.. Masa aku sampai tadi pun dah tinggal sikit. Nasib baik aku sempat lagi.. Kesian pula kat kau.. Nak jamah aku punya?” pelawa Cikgu Durriyah.

“Mm.. takpe lah.. Yang kau pun dah tinggal sikit tu.. Tak cukup la..” balas Safira mengusik cikgu muda itu.

“Takpe.. Aku dah kenyang. Ambil lah.” Ujar Cikgu Durriyah lantas menolak mangkuknya ke arah Safira.

Safira menolak kembali mangkuk itu. Segan rasanya. Lagipun masih ada makanan lain. Cikgu Durrriyah sungguh baik hati. Memang perkara itu tak dapat dinafikan oleh Safira. Sudah lima bulan Safira mengajar di Sekolah Menengah Seri Andalas itu. Layanan Cikgu Durriyah padanya amat baik. Malu dibuatnya.

“Awal pula kau hari ini..”

“Macam tak biasa pula! Muka aku memang dah dicop di kantin ni..! Buku lima aku pun dah tebal pada Pak Cik Leman tu.. Kau bukan tak tahu, Safira.” balas Cikgu Durriyah, ketawa.

Sedikit rakus Cikgu Durriyah menghirup sup yang ada di mangkuk itu. Memang mee sup buatan Pak Cik Leman itu enak. Hingga menjilat jari. Sedap sangat! Sebab tu kalau menu hari Isnin saja, cepat habis. Sejak Safira menjadi guru di situ, menu makanan hari Isnin sudah pasti mee sup Pak Cik Leman. Semua guru di situ juga sama. Sebab tu kadang-kadang mee sup Pak Cik Leman tak cukup untuk guru-guru di situ.

“Mee sup pun dah habis. Apa aku nak makan ni..?”

Soalan Safira tergantung di situ. Cikgu Durriyah menghabiskan hirupan sup yang terakhir. Lalu lidahnya menyapu seluruh bibirnya. Nikmat tak terkata.

“Pak Leman! Mee sup dah habis ke?” tanya Cikgu Durriyah berbasi basa.. Kasihan Cikgu Safira! Cikgu Durriyah bertanyakan untuk Safira. Walaupun tahu makanan itu sudah habis, elok juga bertanya. Manalah tau kalau Pak Cik Leman masih menyimpannya.

“Dah habis lah!” jerit Pak Cik Leman. Sibuk melayan pelajar-pelajar yang datang membeli makanan. Memang tak menang tangan dibuatnya. Tambahan pula, pembantu Pak Cik Leman hari ini ada dua orang yang tak datang.

“Nampaknya bukan rezeki kau lah hari ini.. Kau masih tak mahu jamah mee sup aku ni?”
Soal Cikgu Durriyah lagi.

“Kau ni kan.. Saja je kan.. Bukan dah licin mangkuk tu kau kerjakan?”

“Eh! Ya lah.. Lupa pula aku makan habis. Maaf!” ujar Cikgu Durriyah, senyum malu. Kesilapan yang tak disengajakan.

Safira menggelengkan kepala. Cikgu Durriyah tersenyum.

Lantas Safira bangun dari kerusinya dan melihat makanan yang lain. Perutnya perlu juga di isi biarpun bukan dengan mee sup. Bukannya makanan yang tak sedap cuma mee sup tu terlebih sedap saja.

Akhirnya Safira mencapai tiga biji kuih karipap lalu diletakkan dalam pinggan kecil. Dibawanya ke tempat tadi lalu karipap itu dikunyah perlahan untuk mengisi perutnya. Safira menoleh ke hadapan. Dilihatnya pelajar nakal kelasnya sedang berebut-rebut membeli makanan. Safira cuma mampu menggeleng kepala melihat kenakalan pelajar itu yang sempat mengusik Pak Cik Leman yang kuat melatah.

************





Klinik Famili TTDI yang terletak di Taman Tun Dr Ismail itu menerima kunjungan pesakit yang tidak berapa ramai hari ini. Tambahan pula sekarang pertengahan bulan. Jadi ramai pesakit yang pergi ke hospital kerajaan untuk mendapat rawatan dan ubat percuma.

Seorang pembantu klinik dalam lingkungan umur 23 tahun sedang mencari ubat yang disenaraikan doktor untuk diberikan kepada pesakit yang sedang menunggu di luar. Seorang lagi memanggil nama seorang pesakit lagi untuk mendapatkan rawatan.

Satu jam telah berlalu. Dr Zafwan melihat jam di tangannya. Sudah hampir pukul satu. Masa untuk makan tengah hari. Tiba-tiba teringat sesuatu. Alamak!!!

Laju jarinya menekan punat telefon itu untuk menghubungi seseorang. Beberapa saat menunggu panggilannya dijawab.

Setelah berbual di talian dalam dua minit, Dr Zafwan membuka baju putihnya. Lalu pakaian putih itu disangkut di penjuru sudut dengan penyangkut baju yang disediakan.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki masuk ke dalam. Lalu mereka berjabat tangan dan bertanya khabar.

“Hari ni, duty aku setakat pukul satu saja. Kau stay la kat sini sampai malam ya.. Aku ada hal hari ini. Sorry sebab terpaksa susahkan kau kali ni.”

Bicara Dr Zafwan hanya mengundang senyum lelaki itu. Tahu apa yang menyebabkan tugas Dr Zafwan diberikan padanya. Lagipun memang tugasnya sekarang. Menggantikan Dr. Zafwan yang telah mengisi boring cuti setengah hari semalam. Walaupun mereka berdua adalah ketua di klinik tersebut, peraturan harus diikut juga.

“Tahniah atas ulangtahun perkahwinan kau, Zafwan! Sudah berapa tahun ya?”

“Sudah 27 tahun, Ikmal! Dah lama kan?? Aku pun dah dimamah usia ni.. Kau tengok sajalah rambut aku. Sudah ada yang berwarna putih..” ujar Dr Zafwan sambil menyentuh rambutnya yang memutih.

Dr. Ikmal tersenyum lagi. Mereka sebaya. Perkenalan mereka di Universiti Kebangsaan Malaysia mengeratkan hubungan mereka sehingga kini. Hingga mereka membina klinik sendiri biarpun berkongsi.

“Dah lama aku tak dengar pasal anak sulung kau tu? Dia sihat ke? Kau tak hubungi dia lagi?”

“Dah banyak kali aku pesan kat kau. Jangan disebut-sebut tentang budak kurang ajar tu.. Aku tiada anak begitu. Mustahil aku nak tahu khabar tentang dia. Perbuatan dia dulu buat aku malu saja. Orang sekeliling pandang serong pada aku. Kau tak tahu betapa malunya aku nak berdepan dengan orang,” luah Dr Zafwan.

Teringat semula tentang kejadian beberapa tahun lepas. Saat dia menghadiahkan ‘tamparan’ yang dikira hebat kerana sejak dia mempunyai anak, belum pernah lagi tangannya naik ke muka anaknya. Bila perasaan marah menguasai diri, akal sudah tidak dapat berfikir dengan waras lagi. Hinggakan tidak mahu menganggap anak itu sebagai anaknya lagi. Entah apa dosa yang dilakukan hingga kejadian itu terjadi dalam keluarganya.

“Kau tak kasihan kan dia ke? Kau sisihkan dia dari hidup keluarga kau. Dia masih mentah lagi. Air dicincang takkan putus, Zafwan! Hal tu pun dah lama berlalu. Tiada orang akan ingat kejadian tu lagi. Lagi pun aku percaya, anak kau tu tak bersalah.. Mana tahu kalau-kalau ada yang aniaya dia sebab tak puas hati ke..? Kau pun tak selidik hal tu dulu. Kau terus salahkan dia.. Kau langsung tak fikirkan nasib dia selepas kau halau dia dulu. Sebenarnya aku kasihankannya. Kau sendiri tahu kan, aku dah anggap dia macam anak aku sendiri. Safira tu pun dulu rapat sangat dengan isteri aku.”

Penjelasan Dr Ikmal membuatkan Dr. Zafwan tersentak tiba-tiba. Ahh.. rupa-rupanya dia turut memutuskan hubungan anaknya dengan keluarga angkatnya sendiri. Dr Ikmal telah menganggap Safira sebagai anak angkat sedari umur Safira tiga tahun lagi. Ketika itu, Dr. Ikmal belum mempunyai anak lagi.

Sejak umur Safira tiga tahun, Dr Zafwan seringkali membawa Safira untuk berjumpa dengan Dr. Ikmal dan isterinya. Keadaan itu berlarutan hinggalah Dr Ikmal mendapat anak dari zuriatnya sendiri empat tahun selepas itu iaitu ketika umur Safira menjejak ke angka tujuh tahun.

“Zafwan, kau memang tak cuba cari dia kan? Kau memang tak mahu tahu tentang dia langsung??”

Kata-kata Dr Ikmal sekadar di sapa angin lalu. Dr Zafwan mencapai briefcase nya.. Fail-fail yang mengandungi maklumat pesakit diletakkan dalam briefcase itu. Baju putih tadi dipegangnya lalu langkah dihayun. Sewaktu berada di muka pintu,

“Aku kira aku sudah tiada hal lagi dengan anakku itu. Aku tak mahu tahu apapun tentang dia. Anak angkat kau itu sudah menconteng arang ke mukaku dan aku takkan mudah melupakan kejadian itu. Aku balik dulu! Assalammualaikum!” ucap Dr Zafwan, keras bunyinya lalu menolak pintu dan keluar dari biliknya.

Dr Ikmal menggelengkan kepala. Keras hati sungguh sahabatnya itu. Perangai yang entah diwarisi dari siapa. Agaknya mak atau ayah Dr Zafwan? Anak kandung sendiri pun sanggup dilupakan. Kesalahan yang tiada seorang pun tahu siapa sebenarnya bersalah.

Dr Ikmal tahu bagaimana hati budi Safira. Anak itu sudah dijaga dan dibelai dari kecil. Diberi kasih sayangnya. Mana mungkin hati Safira masih tidak mampu diterokai oleh Dr Ikmal. Safira mempunyai hati yang suci murni.

Tiada apa mampu dilakukan Dr Ikmal. Sekadar doa supaya perjalanan hidup Safira dipermudahkanNya. Mana tahu, andai suatu hari nanti, akan ada yang mengubah hati sahabatnya itu. InsyaAllah! Dr Ikmal berdoa suatu hari nanti, keluarga itu akan bersatu semula. Dapat lah kelak dia berjumpa dengan anak angkat kesayangannya itu.

************

“Kau nampak tak cikgu tu?” suara seorang lelaki kedengaran sambil jarinya menunjuk ke arah seorang guru perempuan.

“Cikgu baru yang tak berapa nak baru tu. Kenapa?”

“Aku rasa aku sudah dilamun cinta la.. Dari semalam lagi. Hatiku ni dah berdegup kencang bila pandang wajahnya. Macam ada something la.. Entahlah, aku jadi macam kasihan bila tengok wajahnya. Macam ada sesuatu yang dipendam.. Kalau boleh aku nak kenal rapat dengannya.”

“Wah.. hebat kau! Sejak bila kau pandai bermadah ni? Geli pula aku mendengarnya. Kau belajar sastera dari Cikgu Naim ke? Dari mana pula kau belajar cara nak tahu tentang muka seseorang tu menceritakan masalah pada kau? Kau dah jadi tukang tilik nasib pula ya..”

“Ishh.. ada pula macam tu.. Aku cuma nak kenal dengannya saja..”

"Itu saja? Dan buat dia jatuh cinta pada lelaki bujang terlajak macam kau ni.."

"Ishh.. ayat kau ni! Pedih hulu hati aku ni mendengarnya. Aku tahu lah aku saja yang masih bujang kat sini.."

“Habis, kau nak buat apa?”

“Adalah..”

"Kau nampaknya perlu bersaing dengan seseorang ni. Kau tahu cikgu romeo tu kan..?"

"La.. betul ke? Mmm.. nampaknya ada persaingan ni.."

"Apapun, aku doakan jodoh kau lekat kali ni.."

"Thanks, kawan!"

Reaksi anda :