Zulaikha merenung album gambar di tangannya. Baru sekejap tadi dia mengemas barang-barang yang diletakkan bawah katil. Sudah berhabuk di bawah tempat tidurnya. Dari minggu lepas lagi, Zulaikha berkira-kira mahu mengemas biliknya. Baru hari ini dia berkesempatan.
Sudah habis dibelek-belek gambar di dalam album berwarna biru itu. Termenung seketika Zulaikha. Sudah hampir dua tahun kisah itu berlalu. Perbuatannya membantu seorang kawan untuk memfitnah kawan serumah yang baik dengannya. Alangkah berdosanya dia kerana melakukan perkara sekeji itu. Mengapa manusia tidak pernah terlepas dari mempunyai hati yang dengki dan busuk?
“Ya Allah! Aku berdosa padaMu. Menganiaya kawanku sendiri yang tidak mengetahui akan kebenarannya. Hingga dia mengalami kesusahan. Ampunkan dosaku..”
Rintihan Zulaikha yang diringi dengan doa itu dituturkan seikhlas mungkin. Entah mengapa saat matanya menatap wajah yang mulus di dalam gambar itu tadi, terbit pula rasa bersalahnya di sudut hati yang kecil itu. Tertanya sendiri mengapa dia sanggup buat begitu. Dadanya berdebar mengingatkan apa yang dilakukan tidak lama dulu. Perbuatannya telah menyebabkan kawannya itu kehilangan segalanya di dalam hidup.
"Di mana kau sekarang?" Zulaikah berbisik perlahan.
‘Mampukah aku mengutip kata-kata kemaafan darimu nanti?’
Zulaikha bertanya pada dirinya sendiri. Lantas album lama itu ditutup kembali lalu diletakkan atas tilam. Zulaikha bingkas bangun lalu menuju ke biliknya. Dirinya perlu dibersihkan. Terlalu banyak dosa yang dilakukan tanpa dia menyedari. Zulaikha mahu bersujud ke hadapan Tuhannya. Mahu memohon agar diberi kesempatan untuknya bertemu Safira kelak.
~~~~~~~~~
“Abang, terima kasih untuk makan malam tadi. Nita bahagia sangat dengan usia perkahwinan kita yang semakin lama ini, menambahkan lagi rasa sayang Nita pada abang.”
Luahan Puan Hanita didengari oleh Dr. Zafwan. Lalu Dr Zafwan menguntum senyum buat isterinya itu. Selama ini mereka kurang mesra gara-gara peristiwa lama. Puan Hanita kurang bersetuju dengan tindakan suami kesayangannya itu. Namun terpaksa diturutkan jua. Puan Hanita tidak mahu membantah kata suaminya kerana syurga seorang isteri terletak dalam keredhaan sang suami. Selama ini Safira berdiam diri saja.
Biarlah hatinya terluka. Anak yang dikandung selama sembilan bulan sepuluh hari itu tetap juga hilang di pandangannya kini. Tetapi hasrat yang dipendam bertambah pedih untuk disimpan lebih lama lagi. Tak tertanggung rasanya.
Ketika itu, mereka dalam perjalanan menuju ke kereta setelah makan malam di sebuah restoran eksklusif.
“Baguslah Nita gembira. Selama ni, Nita tak ceria saja abang tengok. Abang memang berharap makan malam kali ni, meriangkan hati Nita,” balas Dr. Zafwan. Sebenarnya sudah sebulan Dr. Zafwan merancang makan malam itu. Niatnya hanya untuk menceriakan hati isterinya yang gundah gelana.
“Nita cakaplah apa yang Nita inginkan. Apa saja. Abang akan cuba tunaikan, insyaAllah! Lagipun sudah lama abang tak beri hadiah pada Nita kan?”
“Betul ke, bang? Apa saja?” riang Puan Hanita bertanya. Kelihatan bercahaya matanya yang suram. Perlukah aku khabarkan hajat yang terbuku sebelum ini? Walaupun bimbang bertandang di hati?
Ragu-ragu Puan Hanita membuka mulut. Keliru dan bimbang. Takut apa yang dihajati akan ditolak mentah-mentah oleh suaminya.
“Kalau abang menolak, macam mana?”
“Macam mana abang nak menolak, Nita sendiri tak cakap apa bendanya tu.. Cakaplah..Takkan takut pula?”
Dr. Zafwan membalas sambil tangan memusingkan kunci kereta untuk menghidupkan enjin kereta. Dibiarkan seketika. Setelah enjin dirasakan panas, Dr. Zafwan memusingkan stereng keluar dari tempat letak kereta.
“Nita mahu keluarga kita seperti dulu, bang! Nita mahu Safira kembali dalam keluarga kita. Nita…. Nita rindukan anak sulung kita tu..” luah Puan Hanita perlahan. Terdengar nafasnya yang bersatu dengan esak tangis.
Puan Hanita tidak tahu mengapa hatinya terlalu hiba bila bibir menyebut nama Safira. Mungkin kerana dia tidak larat lagi untuk menanggung rindu yang kian sarat itu. Dua tahun. Dua tahun tidak mendengar satu khabar pun tentang Safira. Entahkan masih hidup atau telah tiada di alam fana ini.
Biarlah orang mengatakan dua tahun itu baru sekejap namun hati seorang ibu takkan mampu menghilangkan rasa sayang yang selama ini mengiringi hidupnya. Mana mungkin anak kandung itu terus dilupakan
Dr. Zafwan yang mendengarnya terkesima. Tidak di sangka itu hajat si isteri. Mengapa tiba-tiba diungkit tentang anak yang satu itu? Anak yang telah memalukan dia dulu. Anak yang begitu tegar menconteng arang di wajahnya. Hinggakan dia terasa malu untuk berdepan dengan saudara mara.
Adik beradik menuding jari menuduh dia tidak tahu membela anak. Tidak tahu menjaga dan mendidik anak hingga sempurna. Walhal, tidak semua orang dilahirkan sempurna di dunia ini. Sikap jahat dan baik tetap ada di hati manusia.
Teringat kata-kata Dr Ikmal siang tadi. Kata berupa nasihat itu terngiang di hujung telinga.
“Kau tak kasihan kan dia ke? Kau sisihkan dia dari hidup keluarga kau. Dia masih mentah lagi. Air dicincang takkan putus, Zafwan! Hal tu pun dah lama berlalu. Tiada orang akan ingat kejadian tu lagi. Lagi pun aku percaya, anak kau tu tak bersalah.. Mana tahu kalau-kalau ada yang aniaya dia sebab tak puas hati ke..? Kau pun tak selidik hal tu dulu. Kau terus salahkan dia.. Kau langsung tak fikirkan nasib dia selepas kau halau dia dulu. Sebenarnya aku kasihankannya. Kau sendiri tahu kan, aku dah anggap dia macam anak aku sendiri. Safira tu pun dulu rapat sangat dengan isteri aku.”
Mungkin benar anaknya tidak bersalah dalam hal itu. Namun iblis tetap akan cuba menyesatkan anak-anak Adam hinggakan mereka bisa memecah-belahkan sesebuah keluarga itu.
Hatinya seringkali berbisik itu memang itulah sikap sebenar Safira. Tingkah laku baiknya itu hanya melindungi topeng wajah jahatnya. Anak itu tidak tahu mengenang budi. Telah cukup pelajaran dan didikan agama diberi. Namun ini yang dibalasnya. Mengapa hal itu berlaku juga? Ahh.. mengapa bisikan jahat itu masih kedengaran lagi?
“Safira bukan anak kita lagi, Nita! Abang tak mahu tahu tentang dia.”
“Kenapa, bang! Sebab hal dulu? Benda tu dah berlalu. Safira tu zuriat abang. Hasil dari benih cinta kita. Kenapa abang benci sangat kat dia? Naluri saya kuat mengatakan Safira tak bersalah. Kita yang menuding jari menuduh dia tanpa kita siasat hal sebenarnya. Sepatutnya sebagai ibubapa, kita menyebelahi dia, kita siasat perkara sebenar, kita bagi sokongan pada dia. Entah apa jadi padanya sekarang, kita tak tahu, bang!”
“Mengapa, Nita? Mengapa Nita sebut tentang dia? Bukankah abang dah cakap tadi? Abang tak nak tahu apapun dari dia.”
“Safira anak kita, bang! Air dicincang takkan putus. Sejauh mana Safira pergi biarpun ke hujung dunia, hubungan itu takkan putus. Abang mahu bila dia sudah tiada lagi di dunia ni, baru abang nak menyesal? Baru nak menangis air mata darah?”
“Kenapa Nita degil sangat ni?”
“Nita degil sebab abang! Abang yang degil! Ego tak bertempat! Dengan anak sendiri nak berkira. Yang abang tarik kad kredit dan kereta dia tu kenapa? Kalau abang tak ambil semua tu, kita boleh jejak Safira di mana. Abang sendiri yang tanya tadi, apa hajat Nita, kan? Sekarang Nita dah bagitau abang. Terpulang abang nak tunaikan atau tak. Tapi itu satu-satunya hajat dan hasrat Nita selama dua tahun ni. Kalau abang tak tunaikan, abang juga yang menyesal nanti..”
Puan Hanita meluahkan rasa marahnya. Berdosa rasanya meninggikan suara terhadap suami namun apakan daya. Rindu yang tiada penghujung itu memaksanya melakukan begitu. Naluri seorang ibu takkan mampu menghalang rindu itu.
“Jadi Nita ugut abang lah sekarang ni ya?”
“Nita bukan ugut, bang! Nita cuma mahu hasrat Nita ditunaikan. Bukan besar mana pun permintaan Nita. Mustahil abang tak rindu dia.” Puan Hanita mengendurkan suaranya. Diseka air mata yang keluar dengan tisu.
“Permintaan Nita terlalu berat!”
“Jadi, abang tak boleh penuhi hajat Nita tu?”
“Mmm…”
“Abang terlalu kejam!”
“Abang bukan kejam….”
“Abang tak mampu jadi suami yang baik buat Nita dalam dua tahun ini. Nita kecewa dengan abang..”
“Kenapa Nita cakap macam tu? Abang sayangkan Nita.. Abang juga sayang anak-anak kita kecuali……?”
“Baiklah! Andai sesuatu berlaku pada Nita, abang serahkan surat yang Nita simpan dalam almari kain kita pada Safira nanti. Nita luahkan segalanya dalam surat tu untuk Safira. Nita mahu abang maafkan Safira. Maafkan segala kesalahan dia. Nita sendiri sudah maafkan dia. Sebab Nita mahu hidupnya diiringi doa Nita walaupun dia berada jauh dari Nita.”
Dr. Zafwan menghentikan keretanya di tepi jalan. Cuba meredakan rasa sedih isterinya.
“Jangan cakap macam tu, Nita! Kalau Nita tiada, apa guna abang hidup? Abang terlalu sayangkan Nita. Nita sendiri tahu sayang abang bagaimana pada Nita. Sejak di universiti lagi kita dah bercinta. Abang perlukan Nita untuk menjadi tulang rusuk kiri abang ni.. Memang Nita yang ditakdirkan buat abang. Jangan sebab hal yang kecil macam tu…”
Dr. Zafwan mengenggam tangan Puan Hanita.
“Hal kecil?? Kecil pada abang tapi besar buat Nita. Abang takkan faham hati seorang ibu..”
Puan Hanita meleraikan genggaman suaminya.
Tanpa keduanya menyedari, sebuah lori treler datang dari belakang dengan kelajuan yang maksima. Lampu signal yang tidak terpasang, tambahan keadaan jalan yang gelap kerana tiada lampu jalan menyebabkan kereta dirempuh dari belakang.
“Bummmmmm!!!!”
~~~~~~~~~
Keesokan paginya, Berita Harian memaparkan,
‘Kemalangan Teruk Di TTDI’
TTDI 8 Sept.- Satu kemalangan teruk melibatkan lori treler dan sebuah kereta Proton Waja berlaku di TTDI malam tadi. Menurut laporan, keadaan jalan yang gelap menyebabkan pemandu lori treler itu tidak mengetahui sebuah kereta berada di bahu jalan lalu merempuhnya menyebabkan pasangan suami isteri yang berada di dalamnya tersepit.
Difahamkan, pemandu lori itu yang mabuk telah ditahan pihak polis. Keadaan suami isteri itu pula belum dapat dikenal pasti. Kereta yang hancur dan kemek itu telah dialihkan dan siasatan akan dijalankan.
Sudah Terbit!
2 years ago
September 15, 2009 at 6:34 PM
ya allah.. accident..
ish..cian safira kalo die taw
September 15, 2009 at 11:07 PM
aaaaa
cedihnye..
September 29, 2009 at 2:15 PM
MANE SAMBUNGANNYER..
HOPE CEPAT CKET YE BIDADARI....
XSBR MNANTI N3 Y BARU
October 1, 2009 at 4:28 PM
smb0nk lagii..
x sbr nih!!!
January 9, 2010 at 7:38 PM
nk tau kenapa dr tu benci sgt ngn safira...ape y da safira buat..erm cite ne mcm tergantung la..xbest