Bab II
“Kalau abang tetap nak cari dia, Mas akan bunuh diri!” ugut Mastura sambil berdiri di tepi anjung balkoni rumah mereka.
Rumah dua tingkat itu memang mempunyai balkoni yang bersambung dengan bilik tidur utama. Haziq mengeluh lagi. Tetapi di dalam hati,
‘Kalau nak terjun sangat, terjun lah! Bukan tinggi mana pun..’
Entah sudah berapa kali Mastura mengugut begitu. Susah benar hendak berunding dengan Mastura. Maria yang berdiri di tepi pintu menjerit memanggil ibunya. Takut barangkali melihat aksi tak terduga ibunya. Buatnya Mastura betul-betul terjun, macam mana??
Maria sudah berusia sembilan tahun. Sedikit sebanyak Maria tahu makna kata-kata ibunya, Mastura. Maria teringat akan kata-kata seorang ustaz di sekolahnya,
“Bunuh diri itu salah satu perkara yang Allah S.W.T murka! Allah S.W.T tak suka kepada hamba-hambaNya yang membuat perkara sia-sia.”
“Ibu, kalau ibu bunuh diri, ibu akan masuk neraka!” jerit Maria.
Haziq memandang Maria. Hatinya tersenyum. Pandai juga rupanya si Maria ni, desis hati kecil Haziq.
“Mas dengar tak tu? Budak sekecil Maria pun tahu bunuh diri tu perbuatan terkutuk yang amat dilarang oleh Allah. Mas tahu tak nyawa kita ni milik Allah. Jika Allah sudah tetapkan ajal kita, bukannya dengan cara macam ni. Sudahlah tu Mas! Mari masuk. Abang dah penat sangat melayan kerenah Mas selama ni. Sampai bila Mas nak buat abang macam ni?”
“Sampai abang ceraikan perempuan tu!”
“Ya Allah, Mas…”
“Kenapa? Permintaan Mas ni berat sangat ke? Masa abang kahwin dengan perempuan tu, ada abang ingat kat Mas? Tak kannn??”
“Bergegar tiang Arasy…..”
“Eh, sejak bila abang berlagak jadi alim…??”
“Sudah la tu, Mas.. Turun!”
Dalam tak mahu, Mastura menjejakkan kakinya masuk ke bilik mereka. Mastura menghentak-hentak kaki ke lantai. Berbalut rasa tidak puas melingkari jiwanya. Maria terus menerpa dan memeluk ibunya. Mastura menggosok-gosok belakang Maria. Namun di dalam hati, masih ada secebis geram yang sudah sarat bersarang di situ. Dendam itu masih terbuku lagi. Dah cara kasar tak boleh, buat cara halus lagi baik!
Mastura meletakkan tangan di dada. Rasa sakit di situ. Arghh.. Bilakah semua ini akan berakhir? Gara-gara Darmia, rumahtangganya kini diambang keretakan. Sejak mengetahui Haziq berkahwin dua, Mastura sedaya upaya mengikat Haziq untuk sentiasa bersamanya. Syarat-syarat diatur agar Darmia tidak boleh selalu bersama Haziq.
Mastura memang pandai membuat alasan. Semuanya kerana sakit hati yang bermaharajalela. Nasib Mastura sedikit baik selepas hampir lima belas bulan perkahwinan kedua suaminya itu, Darmia terus menghilangkan diri tanpa dapat dijejak. Eloklah begitu!
Pada Mastura, bagus juga kalau Darmia sudah tiada. Tidak lah Darmia menghubungi suaminya lagi. Tidaklah Darmia meminta agar gilirannya dipenuhi. Melihat perubahan itu, Mastura menarik nafas lega. Sudah tentu Haziq akan bagi perhatian yang lebih kepada Mastura dan anak mereka, Maria.
Seringkali Mastura melihat nama yang tertera handphone Haziq, ‘Darmia sayang’ bila berbunyi minta diangkat. Sumpah seranah tak pernah lepas dari mulut Mastura. Haziq ni sengaja membakar api cemburu terhadap dirinya. Sebenarnya banyak kali sudah Mastura menukar nama buat Darmia dan setiap kali itu juga, Haziq menukarnya kembali. Ahh.. geram betullah! Tak boleh jadi ni..!
* * * *
Akhir-akhir ini, Haziq jadi nanar. Tidak keruan dibuatnya. Merata tempat dicarinya Darmia. Entah mengapa dia seakan baru tersedar dari sesuatu. Seolah-olah baru bangun dari mimpi yang panjang. Puas difikirnya. Apakah yang berlaku sebelum ini? Kenapa wajah Darmia tiba-tiba menjelma berulang kali di layar matanya?
“Bang.. esok saya nak balik kampung! Boleh tak??”
“Bukan Mas dah balik ke, dua minggu lepas? Kenapa nak balik lagi ni? Mak dan ayah sihat kan??”
Haziq jadi hairan. Masuk kali ini, sudah tiga kali Mastura pulang ke kampung halamannya. Setiap dua minggu, Mastura akan pulang membawa Maria sekali. Nak kata emak dan ayah mertuanya sakit, baru semalam Haziq telefon mereka. Mereka berdua sihat saja. Lagipun adik bongsu Mastura ada tinggal sekali di sana. Sudah tentu adik ipar Haziq itu boleh jaga mereka.
“Mas dah selalu sangat balik ke kampung? Ada hal apa sebenarnya?” tanya Haziq.
Mastura yang sedang menyuapkan nasi ke dalam mulut tersentak tiba-tiba. Jarinya terketar-ketar. Aishh.. berdebar sungguhlah! Namun Mastura cuba sembunyikan reaksi mukanya yang sudah berubah tona.
Jangan lah rahsia ini pecah!!
* * * *
Haziq merenung kipas siling yang ligat berputar itu. Seraya ingatan melayang lalu ke masa lalu. Masa ke belakang. Terbayang-bayang wajah Darmia sebenarnya. Kelembutan hati Darmia dulu menyebabkan Haziq tekad untuk memperoleh gadis itu biarpun secara kasar.
Setelah beberapa bulan berkahwin, entah mengapa Haziq seolah-olah tidak menyenangi gadis yang telah bergelar isteri keduanya itu. Setiap kali Darmia menghubunginya, Haziq selalu saja menolak permintaan Darmia yang mahukan dia berlaku adil dalam rumahtangga yang mereka bina. Mulut Haziq menolak namun hatinya seakan mengiyakan kata-kata Darmia itu. Hatinya membentak meminta dia menunaikan giliran di rumah Darmia pula.
Haziq teringin bersama Darmia tetapi seolah-olah ada sesuatu yang menghalang Haziq untuk mengatakan ‘ya’ kepada Darmia. Kerongkongnya seakan tersekat dengan sesuatu.
‘Ahh.. kenapa tiba-tiba panas ni??’
Haziq berkata sendiri. Serasanya dia telah membuka aircond tadi. Aircond sudah rosak ke? Belum servis lagi?? Ingatan Haziq berputar lagi.
‘Bukan bulan lepas ke aku baru servis?’
Tangan Haziq ligat membuka T-shirt yang dipakai. Biarlah dia tidak berbaju. Tak tahan pula dia dengan suhu yang tiba-tiba membahang. Pandangan mata Haziq tertoleh di bingkai gambar sebelahnya. Gambar dia, Mastura dan Maria di Templer Park. Kalau orang lain tengok, pasti mereka ingat kami keluarga bahagia.
Hakikatnya, hanya Haziq dan Mastura saja yang tahu. Tidak orang lain. Aib orang tak perlu dihebohkan.
* * * *
Hari ini sudah hari ke-3, Mastura pulang ke kampong halamannya. Entah apalah yang dicari kat kampung tu, Haziq pun tak tahu. Kekerapan Mastura pulang ke kampungnya membuatkan Haziq keseorangan dan seringkali termenung. Sejak kakinya melangkah ke Masjid Kampung Paya Jaras beberapa bulan yang lepas dan berjumpa dengan seorang imam di situ, hatinya terus dihambat dengan rasa bersalah.
Dosa itu seringkali mendatangi mimpi malamnya dan menganggu lena. Haziq meraup muka dengan telapak tangannya.
‘Ah, tangan ini! Kaki ini, tubuh ini sering membuat onar. Sering nafsuku terjerat dengan dosa yang tiada hujungnya! Aku telah mendera perasaan seorang wanita yang sepatutnya aku bimbing, yang perlu menjadi makmumku setiap kali solat berlabuh di sejadah. Yang akan mengaminkan setiap doa yang terlafaz dari bibirku. Aku mempunyai dua makmum perempuan sebenarnya. Tapi seorang pun tidak aku didik dengan betul! Ya Allah, berdosanya aku hambaMu yang kerdil ini!’
P/S : Cerita ini adalah kesinambungan dari cerpen Kedua yang saya post baru-baru ini. Cerita ini saya buat dalam versi mini novel. Harap semua pembaca terhibur kerana ada pembaca mengatakan cerpen itu tidak habis jalan ceritanya. So harap mini novel ini akan beri kepuasan kepada pembaca! Muahhh..
Sudah Terbit!
2 years ago
July 29, 2011 at 1:58 PM
betul2..xpuas bc yg cerpen..mesti mastura yg bomohkan suami die ni..sian mia..cepat la haziq sembuh dan cr mia..