Secarik Kasih Di Hujung Nafas 7

Papan tanda bilik air guru wanita itu diterbalikkan. Menandakan ada orang di dalamnya. Sekolah Menengah Seri Andalas memang kekurangan tandas untuk para guru. Mujurlah tiada guru yang berebut tandas setiap hari. Setiap bloknya hanya ada satu bilik tandas dan tandas akan dikongsi oleh guru lelaki dan perempuan. Hanya tandas di bilik guru sahaja yang besar. Sudah banyak kali pula pengetuanya memaklumkan kepada pihak yang terbabit untuk menambah bilangan tandas buat guru namun masih tiada jawapan yang diterima.

Ruang yang sempit itu pastinya menyukarkan pergerakan Safira untuk menyalin pakaian. Namun Safira terpaksa juga menukar pakaiannya. Kerana selepas ini ada kelas yang perlu diajar. Takkanlah nak mengajar dengan pakaian yang basah dan kotor itu?

Sudah lima bulan Safira mengajar di situ. Alhamdullillah, segalanya berjalan dengan baik. Safira juga sudah mempunyai kawan baru. Yang memahaminya malah sanggup membantunya tatkala dia kesusahan.

Baju kurung yang basah telah diganti dengan pakaian baru yang sememangnya dibawa hari ini. Macam tahu-tahu saja memang kena tukar pakaian lagi hari ini. Safira sudah agak pasti hal semalam akan berlaku sekali lagi. Kenakalan pelajar yang berada di bawah jagaannya agak sukar untuk diperhatikan. Ada sahaja yang dilakukan untuk mengenakan Safira. diSemalam pun dah kena sekali tapi yang semalam punya hal lagi teruk. Mm.. agaknya lepas ni boleh lah Safira jadi tauke pakaian pula kot..

Safira memutarkan kembali ingatan pada peristiwa kelmarin. Entah macam mana, ketika Safira sedang mengajar kelas 5 Anggerik itu sewaktu memberi penerangan tentang subjek yang diajar hari itu, Safira berjalan di belakang kelas lalu kakinya telah terpijak sesuatu benda yang licin menyebabkan Safira tersembam jatuh macam nangka busuk.

Keadaan jatuh Safira itu mengundang ketawa para pelajarnya. Tambahan pula tanpa Safira menyedari, mukanya terpalit dengan lumpur yang entah dari mana datangnya. Safira melihat ada satu baldi kecil berwarna merah yang mengandungi lumpur tumpah di depannya. Mata Safira mengecil. Geram. Lalu kelas 5 Anggerik gamat dengan suara bising dan gelak ketawa.

‘Ish…bila masa pula ada baldi kecil di sini?? Macam mana lah mereka bertiga tu boleh bawa masuk lumpur dalam kelas ni? Entah dari mana datangnya lumpur ni..?’

Pinggang Safira sungguh sakit ketika itu. Buntang mata Safira bila tahu dirinya menjadi bahan usikan. Safira naik geram melihat benda licin yang dipijaknya tadi adalah kulit pisang. Dalam fikirannya, Safira terfikir kantin sekolah ada menjual pisang ke semasa waktu rehat?

Puas difikir namun otaknya hanya memikirkan kenakalan pelajar kelas 5 Anggerik yang semakin nakal dari hari ke hari. Entah apa yang di fikiran pelajarnya sampai Safira diusik dengan teruk setiap hari. Insiden Safira jatuh tersembam menjadi isu harian kelas itu sejak dua hari lepas.

Soalan itu sekadar berlegar di fikiran Safira. Nak menghukum mereka yang membuatnya begitu, Safira tiada bukti. Namun Safira pasti, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya kan jatuh ke tanah jua..

‘Tunggu lah masanya nanti!’

Hanya itu kata-kata yang mampu lahir di hati Safira. Walhal di hatinya tiada sekelumit dendam pun untuk membalas perbuatan pelajarnya itu. Safira akui lama kelamaan pasti pelajarnya akan berubah sikap. Senakal-nakal mereka pun Safira tahu mereka akan berjaya juga dalam SPM tahun ini.

Safira tahu itu semua kerana dia juga pernah melalui zaman remaja. Kenakalan Safira tidaklah seteruk pelajar 5 Anggerik kerana waktu itu Safira adalah pengawas sekolah. Displin yang diberi melatih Safira untuk mematuhi peraturan sekolah. Hanya sekali sekala sahaja Safira berlaku nakal. Itupun kerana mengusik seorang pelajar baru ketika menjalani minggu orientasi sekolah.

Safira sudah siap menyalin pakaiannya. Lalu Safira membuka pintu tandas yang kecil itu, telinganya menangkap suara kesakitan di sebelah sana. Tak disangka pintu itu mengenai seseorang.

“Aduhhh…!”

Segera Safira menutup pintu tandas. Di depannya kini seorang guru lelaki sedang menggosok-gosok dahinya. Sakit agaknya sebab kena hentam dengan pintu tandas yang baru Safira buka sebentar tadi.

Safira mengagak lelaki itu pastinya salah seorang guru di situ setelah melihat pakaian yang dipakai lelaki itu. Kemas dan sedikit bergaya. Alah.. semua guru lelaki di situ pastinya segak berpakaian kemas begitu.

“Maaf kan saya! Saya tak sengaja!” segera Safira menutur kata maaf. Lelaki itu masih menggosok-gosok dahinya yang sedikit berbenjol.

Kepala lelaki itu terdongak ke atas. Lalu mata kedua-duanya bertentangan. Lama. Hingga kemudiannya Safira berdehem kecil.

“Agaknya mata awak ni buta ke apa?” terhambur kata-kata yang sedikit keras dan menyapa pendengaran Safira. Malu dengan apa yang dibuatnya sebentar tadi.

“Saya minta maaf!” ujar Safira sekali lagi. Kepala ditundukkan ke bawah. Takut menatap wajah yang kemerahan menahan marah.

“Lain kali sebelum buka pintu tu perlahan-lahan la sikit. Entah-entah ada orang kat luar yang sedang tunggu ke atau apa ke. Dah tahu tandas guru kat sekolah ni kecil lagi nak buat macam tadi..” bebel guru lelaki itu. Safira hanya diam. Takkan nak membalas sebab memang salahnya tadi.

“Ya..” balas Safira perlahan.

Hingga akhirnya terdengar bunyi loceng dibunyikan. Safira bergegas keluar dari tandas. Sekarang waktu rehat! Tak dipedulikan guru lelaki yang masih membebel marah padanya tadi.

“Eh, awak??” panggil lelaki itu. Ada sesuatu yang ingin dikatakan namun melihat bayangan gadis di depannya tadi yang mulai menghilang, hajatnya tidak disampaikan.

************

“Kau ni kelakar lah, Safira! Asal loceng bunyi, orang pertama yang aku nampak kat sini, mesti kau! Macam lah takde muka lain dah..” rungut Cikgu Durriyah manja. Sekadar mahu mengusik.

Safira tidak melayan usikan Cikgu Durriyah. Sebaliknya wajahnya masam sahaja. Cikgu Durriyah menyedari keadaan itu.

“Kau kenapa?”

“Tadi masa aku buka pintu tandas, pintu tu terkena seorang guru lelaki lah. Dahinya benjol sikit. Dia marah aku tadi,” jelas Safira. Safira memandang ke depan. Kelihatan Pak Cik Leman sibuk melayan pelajar yang datang membeli makanan di kantinnya.

“Siapa?”

“Entah lah. Aku tak kenal sangat guru lelaki kat sekolah ni.”

“Lupakan lah.. sekarang masa makan. Jangan buat muka macam tu. Nanti rezeki lari..”

Kata-kata Cikgu Durriyah dibalas dengan ketawa nipisnya. Senyumnya tidak lah terlalu besar. Malu dia untuk ketawa bagai orang gila bila mendengar rungutan Cikgu Durriyah yang entah berapa kali masuk ke pendengarannya. Lagipun ada guru lelaki yang sedang menjamu selera di situ juga.

Mata Safira cuba mencari guru lelaki itu. Ditatapnya satu persatu wajah-wajah di situ. Tiada. Agaknya dia tidak turun makan. Atau pergi cari ubat untuk dahi yang benjol itu.

“Betul lah kata kau. Aku rasa aku dah jadi orang terakhir ni..” Safira mengeluh kecewa bila apa yang dihajati tidak kesampaian. Dilirik meja makan yang biasanya mengandungi mangkuk-mangkuk sederhana besar itu. Kosong!

“Tu lah.. Masa aku sampai tadi pun dah tinggal sikit. Nasib baik aku sempat lagi.. Kesian pula kat kau.. Nak jamah aku punya?” pelawa Cikgu Durriyah.

“Mm.. takpe lah.. Yang kau pun dah tinggal sikit tu.. Tak cukup la..” balas Safira mengusik cikgu muda itu.

“Takpe.. Aku dah kenyang. Ambil lah.” Ujar Cikgu Durriyah lantas menolak mangkuknya ke arah Safira.

Safira menolak kembali mangkuk itu. Segan rasanya. Lagipun masih ada makanan lain. Cikgu Durrriyah sungguh baik hati. Memang perkara itu tak dapat dinafikan oleh Safira. Sudah lima bulan Safira mengajar di Sekolah Menengah Seri Andalas itu. Layanan Cikgu Durriyah padanya amat baik. Malu dibuatnya.

“Awal pula kau hari ini..”

“Macam tak biasa pula! Muka aku memang dah dicop di kantin ni..! Buku lima aku pun dah tebal pada Pak Cik Leman tu.. Kau bukan tak tahu, Safira.” balas Cikgu Durriyah, ketawa.

Sedikit rakus Cikgu Durriyah menghirup sup yang ada di mangkuk itu. Memang mee sup buatan Pak Cik Leman itu enak. Hingga menjilat jari. Sedap sangat! Sebab tu kalau menu hari Isnin saja, cepat habis. Sejak Safira menjadi guru di situ, menu makanan hari Isnin sudah pasti mee sup Pak Cik Leman. Semua guru di situ juga sama. Sebab tu kadang-kadang mee sup Pak Cik Leman tak cukup untuk guru-guru di situ.

“Mee sup pun dah habis. Apa aku nak makan ni..?”

Soalan Safira tergantung di situ. Cikgu Durriyah menghabiskan hirupan sup yang terakhir. Lalu lidahnya menyapu seluruh bibirnya. Nikmat tak terkata.

“Pak Leman! Mee sup dah habis ke?” tanya Cikgu Durriyah berbasi basa.. Kasihan Cikgu Safira! Cikgu Durriyah bertanyakan untuk Safira. Walaupun tahu makanan itu sudah habis, elok juga bertanya. Manalah tau kalau Pak Cik Leman masih menyimpannya.

“Dah habis lah!” jerit Pak Cik Leman. Sibuk melayan pelajar-pelajar yang datang membeli makanan. Memang tak menang tangan dibuatnya. Tambahan pula, pembantu Pak Cik Leman hari ini ada dua orang yang tak datang.

“Nampaknya bukan rezeki kau lah hari ini.. Kau masih tak mahu jamah mee sup aku ni?”
Soal Cikgu Durriyah lagi.

“Kau ni kan.. Saja je kan.. Bukan dah licin mangkuk tu kau kerjakan?”

“Eh! Ya lah.. Lupa pula aku makan habis. Maaf!” ujar Cikgu Durriyah, senyum malu. Kesilapan yang tak disengajakan.

Safira menggelengkan kepala. Cikgu Durriyah tersenyum.

Lantas Safira bangun dari kerusinya dan melihat makanan yang lain. Perutnya perlu juga di isi biarpun bukan dengan mee sup. Bukannya makanan yang tak sedap cuma mee sup tu terlebih sedap saja.

Akhirnya Safira mencapai tiga biji kuih karipap lalu diletakkan dalam pinggan kecil. Dibawanya ke tempat tadi lalu karipap itu dikunyah perlahan untuk mengisi perutnya. Safira menoleh ke hadapan. Dilihatnya pelajar nakal kelasnya sedang berebut-rebut membeli makanan. Safira cuma mampu menggeleng kepala melihat kenakalan pelajar itu yang sempat mengusik Pak Cik Leman yang kuat melatah.

************





Klinik Famili TTDI yang terletak di Taman Tun Dr Ismail itu menerima kunjungan pesakit yang tidak berapa ramai hari ini. Tambahan pula sekarang pertengahan bulan. Jadi ramai pesakit yang pergi ke hospital kerajaan untuk mendapat rawatan dan ubat percuma.

Seorang pembantu klinik dalam lingkungan umur 23 tahun sedang mencari ubat yang disenaraikan doktor untuk diberikan kepada pesakit yang sedang menunggu di luar. Seorang lagi memanggil nama seorang pesakit lagi untuk mendapatkan rawatan.

Satu jam telah berlalu. Dr Zafwan melihat jam di tangannya. Sudah hampir pukul satu. Masa untuk makan tengah hari. Tiba-tiba teringat sesuatu. Alamak!!!

Laju jarinya menekan punat telefon itu untuk menghubungi seseorang. Beberapa saat menunggu panggilannya dijawab.

Setelah berbual di talian dalam dua minit, Dr Zafwan membuka baju putihnya. Lalu pakaian putih itu disangkut di penjuru sudut dengan penyangkut baju yang disediakan.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki masuk ke dalam. Lalu mereka berjabat tangan dan bertanya khabar.

“Hari ni, duty aku setakat pukul satu saja. Kau stay la kat sini sampai malam ya.. Aku ada hal hari ini. Sorry sebab terpaksa susahkan kau kali ni.”

Bicara Dr Zafwan hanya mengundang senyum lelaki itu. Tahu apa yang menyebabkan tugas Dr Zafwan diberikan padanya. Lagipun memang tugasnya sekarang. Menggantikan Dr. Zafwan yang telah mengisi boring cuti setengah hari semalam. Walaupun mereka berdua adalah ketua di klinik tersebut, peraturan harus diikut juga.

“Tahniah atas ulangtahun perkahwinan kau, Zafwan! Sudah berapa tahun ya?”

“Sudah 27 tahun, Ikmal! Dah lama kan?? Aku pun dah dimamah usia ni.. Kau tengok sajalah rambut aku. Sudah ada yang berwarna putih..” ujar Dr Zafwan sambil menyentuh rambutnya yang memutih.

Dr. Ikmal tersenyum lagi. Mereka sebaya. Perkenalan mereka di Universiti Kebangsaan Malaysia mengeratkan hubungan mereka sehingga kini. Hingga mereka membina klinik sendiri biarpun berkongsi.

“Dah lama aku tak dengar pasal anak sulung kau tu? Dia sihat ke? Kau tak hubungi dia lagi?”

“Dah banyak kali aku pesan kat kau. Jangan disebut-sebut tentang budak kurang ajar tu.. Aku tiada anak begitu. Mustahil aku nak tahu khabar tentang dia. Perbuatan dia dulu buat aku malu saja. Orang sekeliling pandang serong pada aku. Kau tak tahu betapa malunya aku nak berdepan dengan orang,” luah Dr Zafwan.

Teringat semula tentang kejadian beberapa tahun lepas. Saat dia menghadiahkan ‘tamparan’ yang dikira hebat kerana sejak dia mempunyai anak, belum pernah lagi tangannya naik ke muka anaknya. Bila perasaan marah menguasai diri, akal sudah tidak dapat berfikir dengan waras lagi. Hinggakan tidak mahu menganggap anak itu sebagai anaknya lagi. Entah apa dosa yang dilakukan hingga kejadian itu terjadi dalam keluarganya.

“Kau tak kasihan kan dia ke? Kau sisihkan dia dari hidup keluarga kau. Dia masih mentah lagi. Air dicincang takkan putus, Zafwan! Hal tu pun dah lama berlalu. Tiada orang akan ingat kejadian tu lagi. Lagi pun aku percaya, anak kau tu tak bersalah.. Mana tahu kalau-kalau ada yang aniaya dia sebab tak puas hati ke..? Kau pun tak selidik hal tu dulu. Kau terus salahkan dia.. Kau langsung tak fikirkan nasib dia selepas kau halau dia dulu. Sebenarnya aku kasihankannya. Kau sendiri tahu kan, aku dah anggap dia macam anak aku sendiri. Safira tu pun dulu rapat sangat dengan isteri aku.”

Penjelasan Dr Ikmal membuatkan Dr. Zafwan tersentak tiba-tiba. Ahh.. rupa-rupanya dia turut memutuskan hubungan anaknya dengan keluarga angkatnya sendiri. Dr Ikmal telah menganggap Safira sebagai anak angkat sedari umur Safira tiga tahun lagi. Ketika itu, Dr. Ikmal belum mempunyai anak lagi.

Sejak umur Safira tiga tahun, Dr Zafwan seringkali membawa Safira untuk berjumpa dengan Dr. Ikmal dan isterinya. Keadaan itu berlarutan hinggalah Dr Ikmal mendapat anak dari zuriatnya sendiri empat tahun selepas itu iaitu ketika umur Safira menjejak ke angka tujuh tahun.

“Zafwan, kau memang tak cuba cari dia kan? Kau memang tak mahu tahu tentang dia langsung??”

Kata-kata Dr Ikmal sekadar di sapa angin lalu. Dr Zafwan mencapai briefcase nya.. Fail-fail yang mengandungi maklumat pesakit diletakkan dalam briefcase itu. Baju putih tadi dipegangnya lalu langkah dihayun. Sewaktu berada di muka pintu,

“Aku kira aku sudah tiada hal lagi dengan anakku itu. Aku tak mahu tahu apapun tentang dia. Anak angkat kau itu sudah menconteng arang ke mukaku dan aku takkan mudah melupakan kejadian itu. Aku balik dulu! Assalammualaikum!” ucap Dr Zafwan, keras bunyinya lalu menolak pintu dan keluar dari biliknya.

Dr Ikmal menggelengkan kepala. Keras hati sungguh sahabatnya itu. Perangai yang entah diwarisi dari siapa. Agaknya mak atau ayah Dr Zafwan? Anak kandung sendiri pun sanggup dilupakan. Kesalahan yang tiada seorang pun tahu siapa sebenarnya bersalah.

Dr Ikmal tahu bagaimana hati budi Safira. Anak itu sudah dijaga dan dibelai dari kecil. Diberi kasih sayangnya. Mana mungkin hati Safira masih tidak mampu diterokai oleh Dr Ikmal. Safira mempunyai hati yang suci murni.

Tiada apa mampu dilakukan Dr Ikmal. Sekadar doa supaya perjalanan hidup Safira dipermudahkanNya. Mana tahu, andai suatu hari nanti, akan ada yang mengubah hati sahabatnya itu. InsyaAllah! Dr Ikmal berdoa suatu hari nanti, keluarga itu akan bersatu semula. Dapat lah kelak dia berjumpa dengan anak angkat kesayangannya itu.

************

“Kau nampak tak cikgu tu?” suara seorang lelaki kedengaran sambil jarinya menunjuk ke arah seorang guru perempuan.

“Cikgu baru yang tak berapa nak baru tu. Kenapa?”

“Aku rasa aku sudah dilamun cinta la.. Dari semalam lagi. Hatiku ni dah berdegup kencang bila pandang wajahnya. Macam ada something la.. Entahlah, aku jadi macam kasihan bila tengok wajahnya. Macam ada sesuatu yang dipendam.. Kalau boleh aku nak kenal rapat dengannya.”

“Wah.. hebat kau! Sejak bila kau pandai bermadah ni? Geli pula aku mendengarnya. Kau belajar sastera dari Cikgu Naim ke? Dari mana pula kau belajar cara nak tahu tentang muka seseorang tu menceritakan masalah pada kau? Kau dah jadi tukang tilik nasib pula ya..”

“Ishh.. ada pula macam tu.. Aku cuma nak kenal dengannya saja..”

"Itu saja? Dan buat dia jatuh cinta pada lelaki bujang terlajak macam kau ni.."

"Ishh.. ayat kau ni! Pedih hulu hati aku ni mendengarnya. Aku tahu lah aku saja yang masih bujang kat sini.."

“Habis, kau nak buat apa?”

“Adalah..”

"Kau nampaknya perlu bersaing dengan seseorang ni. Kau tahu cikgu romeo tu kan..?"

"La.. betul ke? Mmm.. nampaknya ada persaingan ni.."

"Apapun, aku doakan jodoh kau lekat kali ni.."

"Thanks, kawan!"

6 Response to "Secarik Kasih Di Hujung Nafas 7"

  1. Anonymous Says:
    September 4, 2009 at 8:27 PM

    bile final ni..tak sabar dh nak tau..

  2. Anonymous Says:
    September 4, 2009 at 8:28 PM

    SAPE CIKGU LAKI TU? CIKGU SYAFIK KE?

  3. MaY_LiN Says:
    September 5, 2009 at 12:42 AM

    huhuhu..
    mkn menarik..
    [~_~]

  4. anak laut says:
    September 5, 2009 at 6:13 AM

    salam..bidadari,

    :)) tak adalah.mana ada dilamun cinta..:)))

  5. fadzilah says:
    September 5, 2009 at 10:43 AM

    bila nak sambung citer ni..best la...mcm novel.
    seronoknya kalau kt sek ader cikgu laki hensem kan..hehehe.

  6. bidadari cinta says:
    September 5, 2009 at 2:15 PM

    betul tu, fadzilah..
    sbb bile ade cikgu hensem ni..
    blh djadikan peransang utk kita blajar..
    betul tak?hihi..

Post a Comment